ZULFADLI (tengah) berlatih di venue pertandingan sejak beberapa minggu lalu.
ZULFADLI (tengah) berlatih di venue pertandingan sejak beberapa minggu lalu.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pemanah compound negara, Zulfadli Ruslan tidak mahu mereka apa saja alasan kerana ia akan menghalang dirinya daripada menyumbang emas buat negara walaupun pada masa sama masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan angin di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Jelas pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 dalam acara individu itu, setiap pemanah akan menghadapi perkara sama apabila bertanding nanti.

“Saya tidak mahu menjadikan ia sebagai halangan. Saya perlu memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan berlatih di venue pertandingan sejak beberapa minggu lalu bagi menghasilkan keputusan terbaik.

“Secara jujurnya, keadaan angin di venue pertandingan agar sukar diramal kerana ia kawasan yang terbuka berbanding lokasi latihan skuad negara yang tertutup sebelum ini. Jadi saya tidak mempunyai pilihan selain segera menyesuaikan diri sebaik mungkin berbanding pencabar negara lain,” katanya.

Acara compound individu lelaki dan wanita dijangka menyumbangkan emas pertama kontinjen negara apabila dijadualkan berlangsung pada Rabu depan.

Mengulas mengenai kecederaan bahu yang dialaminya sebelum ini, Zulfadli berkata ia semakin pulih selepas menjalani rawatan yang disediakan Institut Sukan Negara (ISN).

“Ia bukan pulih sepenuhnya namun kesakitan ketika melakukan latihan adalah pada tahap minimum. Namun rawatan yang dilakukan setiap hari diharapkan mampu membantu saya,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:37 AM