PEMAIN menjalani talhian di Kelana Jaya, Mac lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
PEMAIN menjalani talhian di Kelana Jaya, Mac lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Aziman Rosdi


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berada dalam dilema untuk membenarkan skuad Harimau Malaya ke Pyongyang bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara, 8 Jun ini atas faktor keselamatan.

Menurut presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau bimbang akan keselamatan pemain namun dalam masa yang sama tidak boleh menarik diri kerana bakal mengundang tindakan tegas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Saya selaku Presiden FAM amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain negara dan agak sukar bagi saya sebenarnya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana.

"Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0. Tambahan lagi kita juga akan didenda sehingga AS$50,000 (RM217,320) dan akan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia.

"Lebih membimbangkan adalah besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan AFC pada masa akan datang. Persoalannya ialah apa yang harus kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di venue neutral demi keselamatan pemain negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arena Metro hari ini melaporkan mengenai langkah FAM yang sekali lagi mengemukakan rayuan kepada AFC Selasa lalu supaya mempertimbangkan aksi pertama Kumpulan B itu diadakan di gelanggang berkecuali.

Hubungan antara Malaysia dan Korea Utara tegang susulan konflik berlaku selepas kes kematian abang ipar pemimpin Korea Utara Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), 13 Februari lalu.

Ketika ini pihak kerajaan tidak menggalakkan pasukan Harimau Malaya untuk pergi ke Korea Utara disebabkan isu diplomatik namun tiada sekatan perjalanan dikenakan dan itu tidak cukup untuk AFC mengubah venue ke venue berkecuali.

Tunku Ismail menyatakan bahawa selain jaminan keselamatan, masalah penginapan, makanan dan mutu pengadilan di Pyongyang turut menimbulkan kebimbangannya.

Justeru beliau menyerahkan kepada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membuat keputusan.

"Saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Sukan. Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia. Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 11:20 AM