DR MOHD SHUKRI (depan) beramah mesra dengan graduan cemerlang.
DR MOHD SHUKRI (depan) beramah mesra dengan graduan cemerlang.
Fazurawati Che Lah


MANAGEMENT and Science University (MSU) terus komited melonjakkan kualiti pembangunan pendidikan dengan menyasarkan untuk berada dalam kalangan 100 universiti terbaik Asia bagi tempoh tiga tahun lagi.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, menerusi Quacquarelli Symonds (QS) Asia Ranking, MSU kini berada pada kedudukan ke-179 dalam kalangan 550 universiti terbaik Asia.

Beliau berkata, MSU turut menyasarkan untuk berada dalam kalangan 300 QS World University Ranking dalam tempoh sama berbanding kini, di mana MSU berada di ranking antara ke-541.

“Sasaran ini akan menjadi penanda aras yang bagus untuk warga MSU melakukan kerja dengan penuh perhatian dan berkualiti,” katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen MSU Ke-26, di MSU Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan 1,769 graduan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Terkini, Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyaksikan kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.7 peratus dan adalah tertinggi di Malaysia.

Menurut Dr Mohd Shukri, pencapaian itu berikutan hubungan baik MSU dengan industri yang kukuh dan universiti akan berusaha untuk mengekalkan pencapaian sedia ada.

“Setakat ini, kami bekerjasama dengan 1,700 syarikat dari dalam dan luar negara bagi penempatan latihan industri pelajar MSU,” katanya.

Beliau berkata, MSU komited menyasarkan 50 peratus pengaplikasian program berasaskan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam semua peringkat pengajian ditawarkan.

Katanya, sasaran itu berfokuskan usaha untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berkemahiran tinggi, sekali gus mampu menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

MSU adalah antara universiti terbaik di Malaysia dengan memfokuskan kepada penawaran program pengajian untuk melahirkan modal insan berkualiti dan memenuhi keperluan global.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 6:20 AM