DR ROHAFIZ membentangkan kertas kerja pada Seminar ZAWED.
DR ROHAFIZ membentangkan kertas kerja pada Seminar ZAWED.
Fazurawati Che Lah


DALAM dunia serba pantas dan canggih pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), ‘games’ turut berupaya meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang muda untuk membayar zakat melalui ‘gamification.’

Masyarakat Islam Malaysia umumnya mengetahui kewajipan zakat fitrah yang dibayar pada Ramadan dan hari raya, namun kesedaran membayar zakat lain seperti zakat pendapatan individu, syarikat dan emas masih rendah.

Hakikat ini memberi idea kepada kumpulan penyelidik yang diketuai Dr Rohafiz Sabar dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mencipta ‘games’ yang dikenali sebagai Jom Pay Zakat.

Menurutnya, ‘gamification’ adalah alternatif yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap pengurusan zakat dalam kalangan masyarakat Islam termasuk generasi muda dan penuntut pembelajaran di STML dan UUM.

“Melalui perkhidmatan pembelajaran, mahasiswa membangunkan ‘gamification’ dengan menginterasi teori asas dalam pengurusan logistik serta kewangan sosial Islam di mana ‘gamification’ ini sudah diuji 400 penuntut UUM.

“Dengan menggunakan pendekatan ‘gamification’ didapati peratusan kesedaran terhadap pembayaran zakat orang muda meningkat daripada 22 kepada 78 peratus,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Antarabangsa Zakat, Cukai, Wakaf dan Pembangunan Ekonomi (ZAWED) 2019 di Hotel Adya, Langkawi, baru-baru ini.

Dr Rohafiz memberitahu, ‘gamification’ itu adalah inovasi pendidikan terkini hasil kolaborasi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM dan The Centre for Logistics and Transport (CeLT) UUM.

“Seperti wakaf, ubah suai diperlukan untuk memastikan wakaf diperluas, bukan sahaja dengan masyarakat memberi sumbangan al-Quran dan telekung, malah sumbangan wakaf boleh diperluas dengan pembinaan hospital, rumah orang tua, ‘terminal illness patients’ (kanser dan strok), rumah rehat bagi masyarakat.

“Insya-Allah, UUM dalam perancangan untuk bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) membangunkan model ‘hospice logistics’ dan wakaf bagi kegunaan ‘terminal illness patients’ dan ‘palliative care’ buat umat Islam di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, menurut pengarah seminar, Prof Madya Dr Muhamad Noor Habibi Long, ZAWED, seminar anjuran IPIZ UUM itu dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan LZNK.

“Objektif seminar ini adalah untuk melihat semula konsep dan aplikasi pengurusan zakat, wakaf, baitulmal, cukai, hibah dalam pembangunan ekonomi dan perniagaan Islam. Zakat dan wakaf adalah mekanisme kewangan sosial Islam yang perlu sentiasa digilap dalam memberi impak rahmat seluruh alam.

“Seminar ini mengupas isu, cabaran dan amalan terbaik berkaitan pengurusan zakat, wakaf, baitulmal, hibah dan pembangunan ekonomi dan perniagaan Islam dalam tadbir urus sektor awam dan swasta berasaskan konsep rahmah serta maqasid syariah.

“Zakat dan wakaf juga perlu diangkat kembali menjadi sektor ekonomi ketiga yang mampu membantu kerajaan dalam mencapai matlamat ekonomi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 12:45 PM