STAF MADA menunjukkan teknik cantuman mempelam.
STAF MADA menunjukkan teknik cantuman mempelam.
LADANG mempelam MADA.
LADANG mempelam MADA.
HM Digital

Senarai semakan tanaman mempelam (Mempelam Check) adalah panduan untuk menguruskan tanaman buah-buahan itu mengikut sasaran yang ditetapkan.

Setiap Mempelam Check utama perlu ditepati untuk mendapat pertumbuhan baik dan penghasilan yang tinggi.

Pemantauan dan pemerhatian yang berterusan ke atas pokok dan status ladang dari segi pertumbuhan pokok, pengurusan tanah dan air, pembajaan, rumpai, musuh serta penyakit adalah penting untuk mengenal pasti masalah selain tindakan penyelesaian masalah.

Sehubungan itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengusahakan tanaman mempelam tobiar turut mengesyorkan Mempelam Check membabitkan kawasan seluas 42 hektar sejak 2002.

Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA Ruslan Abdul Ghani berkata, projek tanaman mempelam tobiar ini pada asalnya ditanam secara monoklon dengan klon chok anan (MA224) dengan bilangan sebanyak 18,059 pokok.

Beliau berkata, kini kapasiti bilangan pokok sedia ada ialah 11,078 pokok membabitkan 10,970 pokok mempelam chok anan sementara 108 pokok harumanis (MA128).

“Setakat ini, kos keseluruhan pembangunan ladang mempelam membabitkan peruntukan RM1.3 juta. Ia sebagai ladang nukleus yang berperanan sebagai pusat pemindahan teknologi tanaman mempelam dan latihan amali kepada usahawan serta peladang Kawasan MADA.

“Pengeluaran buah mempelam yang bermutu tinggi ini untuk pasaran segar selain untuk membekalkan bahan mentah untuk pemprosesan produk industri asas tani (IAT) berasaskan mempelam,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program ‘Road to Agro Tourism’ (RTA) Siri 4 - Zon Utara di Ladang Mempelam MADA, Mukim Tobiar, Pendang, Kedah, baru-baru ini.

Program anjuran Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Ruslan berkata, keperluan asas untuk mendapat hasil yang banyak dan bermutu tinggi ialah klon cepat berbuah, hasil banyak, mempunyai isi menarik dan boleh dipelbagai guna sama ada untuk dimakan segar atau diproses.

“Bagi pengeluaran komersial, kualiti benih perlu diberi perhatian apabila anak benih pokok cantuman atau baji digunakan. Pokok penanti dan mata tunas yang diperoleh hendaklah diambil dari sumber yang sah, induk terpilih dan disahkan ketulenannya.

“Peladang yang hendak menanam pokok secara kecil-kecilan boleh menyediakan baka sendiri dengan memberi perhatian kepada pemilihan benih, kaedah membuat cantuman dan penyemaian benih.

“Sistem tanaman yang betul adalah titik permulaan untuk pengurusan tanaman yang baik,” katanya.

Menurutnya, pembajaan penting bagi memastikan pertumbuhan pokok mempelam baik kerana pokok sihat memerlukan zat nutrien mencukupi dan pada masa yang tepat.

“Selain itu, pemangkasan betul dapat membentuk pokok yang cantik dan menambah ranting pengeluaran buah. Ia bagi membentuk struktur pokok yang kuat dan seimbang selain memudahkan pengurusan pokok yang sempurna serta mendedahkan dahan kepada cahaya matahari.

“Amalan pemangkasan boleh dimulakan apabila pokok mempelam mencapai usia satu tahun. Selain itu, pembalutan buah perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti dan menghindarkan serangan lalat buah,” katanya. -Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:33 PM