ABDUL Halim menunjukkan pisang hasil kaedah tisu kultur.
ABDUL Halim menunjukkan pisang hasil kaedah tisu kultur.
Mohamad Hussin

Penghasilan pokok pisang menerusi kaedah in vitro atau tisu kultur bagi pembiakan tanaman itu perlu menerusi beberapa proses bagi mendapatkan hasil yang baik.

Teknik penghasilan benih daripada tisu tumbuhan menggunakan medium nutrien ini mampu menghasilkan benih yang sama dengan pokok asalnya.

Ia termasuk proses pemilihan tanaman, penyediaan bahan induk, penyediaan kultur disteril, penggandaan tunas, proses pengakaran dan pengalihan ke dalam beg semaian sebelum ditanam di ladang.

Bahan tanaman iaitu sulur akan diambil daripada ladang dan diproses dalam makmal. Kebiasaannya sulur pedang akan digunakan kerana proses pembiakan dan pertumbuhannya lebih pantas.

Oleh itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi tisu kultur khususnya bagi tanaman pisang.

JALIYAH menunjukkan kaedah tisu kultur bagi menghasilkan tanaman pisang.
JALIYAH menunjukkan kaedah tisu kultur bagi menghasilkan tanaman pisang.

Saintis MARDI Jaliyah Abu Bakar berkata, dengan adanya teknologi tisu kultur, setiap sulur pisang mampu mengeluarkan sehingga 2,000 anak benih secara berterusan dan mengambil masa yang lebih singkat untuk mendapatkan hasil tuaian.

Beliau berkata, empat jenis pokok pisang yang menggunakan kaedah tisu kultur iaitu pisang tanduk, pisang berangan, pisang emas dan pisang nangka.

“Ia berbeza dengan kaedah konvensional apabila setiap pokok pisang hanya mampu menghasilkan sebanyak lima hingga 10 sulur saja untuk tanaman seterusnya dan mengambil masa hingga sembilan hingga 10 bulan untuk dituai.

“Pada 2015, sebanyak 60,000 anak pokok pisang dihasilkan sementara pada 2016, jumlah pengeluaran semakin meningkat hingga mencecah 70,000 anak pokok.

“Setiap anak pokok pisang dijual dengan harga RM2 sementara platlet pula dijual pada RM1.50,” katanya yang ditemui di Stesen MARDI Klang, baru-baru ini.

BENIH pisang yang sudah berakar.
BENIH pisang yang sudah berakar.

Menurutnya, proses tisu kultur melalui sulur akan disteril dengan bahan pembasmi kuman dan juga air suling selama 45 minit.

“Kemudian proses pemotongan eksplan dilakukan dan diletakkan dalam medium pertumbuhan yang mengandungi nutrien serta hormon untuk tujuan pembiakan.

“Selepas disimpan selama 45 hari dalam bilik tumbesaran pada suhu antara 24 hingga 28 darjah Celsius, ia akan menghasilkan akar dan mengeluarkan tunas.

“Tunas ini kemudian akan dipindahkan ke dalam medium baru bagi tujuan pembiakan seterusnya sebelum melalui proses pengakaran,” katanya.

Jaliyah berkata, bagi proses pengakaran, setiap tunas atau platlet yang mencapai ketinggian yang ditetapkan akan diasingkan dan dipindahkan ke dalam beg semaian yang mengandungi medium campuran.

ANAK benih pokok pisang.
ANAK benih pokok pisang.

“Selepas enam hingga lapan minggu, anak pokok pisang berkenaan akan mencapai ketinggian dan kriteria yang ditetapkan sebelum dijual atau dipindahkan ke ladang.

“Perbezaan antara pokok pisang yang dihasilkan secara tisu kultur dengan kaedah konvensional ialah benihnya akan tumbuh seragam atau sekata dan berbuah dalam tempoh yang sama.

“Ia sekali gus dapat memudahkan petani untuk menuai hasil selain kualiti buah yang lebih terjamin dari segi kualiti dan selamat untuk dimakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 11:08 AM