ROZITAWATI (kanan) bersama pelajar melakukan penyelidikan pada pokok tin.
ROZITAWATI (kanan) bersama pelajar melakukan penyelidikan pada pokok tin.
BUAH tin.
BUAH tin.
ANAK pokok tin yang terdapat di UIAM kampus Kuantan bagi tujuan penyelidikan.
ANAK pokok tin yang terdapat di UIAM kampus Kuantan bagi tujuan penyelidikan.
Mohd Rafi Mamat


Fakulti Kuliah Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan melakukan kajian membabitkan penggunaan baja organik selain menghasilkan pokok tin (ficus carica) yang dikacuk dengan pokok ara tempatan menggunakan teknik cantuman.

Kejayaan kajian itu mampu meletakkan pusat pengajian dengan imej pendidikan Islam setaraf universiti tempatan lain di negara ini yang menumpukan kepada bidang penyelidikan pertanian.

Ketua Jabatan Sains Tumbuhannya Dr Rozitawati Shahari berkata, kejayaan penyelidikan membanggakan sebelum ini membabitkan medium tanaman, baja, penyakit dan khasiat pada pokok tin yang berasal dari Asia Barat.

Katanya, selama tiga tahun kajian dilakukan dengan perbelanjaan lebih RM32,000 dan hasilnya banyak rumusan dapat dibuat membabitkan tanaman pokok tin yang sebelum ini banyak pihak tidak yakin tumbuhan terbabit boleh hidup di negara ini.

“Penggunaan 100 peratus medium organik selain tidak mengunakan sebarang jenis racun menjadi kelebihan kepada projek tanaman pokok tin diusahakan Fakulti Kuliah Sains UIAM kampus Kuantan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Saya berharap kajian membabitkan penggunaan baja organik daripada najis haiwan seperti arnab, kambing, lembu dan burung puyuh mendapat keputusan dalam masa terdekat selepas usaha berteruskan dilakukan penyelidik serta pelajar.

“Kami juga berusaha melakukan kacukan antara pokok tin dengan pokok ara tempatan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, gandingan dua jenis pokok itu diharap menghasilkan pokok berkualiti, tahan penyakit dan mampu menghasilkan banyak buah,” katanya.

Rozitawati berkata, pihaknya kini mempunyai lebih 700 pokok tin pelbagai saiz dan umur untuk tujuan penyelidikan serta dijual kepada pihak berminat, hanya kaedah keratan dahan saja digunakan untuk menghasilkan pokok baru.

Beliau berkata, kajian di makmal juga mendapati banyak khasiat ada pada buah dan daun pokok tin selain kandungan vitamin dalam buah boleh membantu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Kini ada tiga penuntut di peringkat ijazah sarjana melakukan kajian tambahan terhadap pokok tin termasuk pokok lempoyang yang dikatakan mempunyai banyak khasiat seperti didakwa pengamal perubatan tradisional.

“Buah dan daun pokok tin mendapat permintaan mengalakkan daripada syarikat tempatan dan luar negara bagi menghasilkan teh serta jus untuk pasaran antarabangsa. Masyarakat di negara ini perlu beralih untuk menanam pokok tin yang begitu mudah dijaga.

“Pokok tin boleh ditanam dalam pasu sebagai pokok hiasan secara terbuka kepada matahari, pokok berkenaan tidak memerlukan banyak air. Dalam tempoh tidak sampai setahun ditanam pokok terbabit akan berbuah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedia berkongsi kepakaran dengan pihak berminat mengusahakan tanaman pokok tin secara komersial tanpa memerlukan modal besar. Selain menyediakan benih, khidmat nasihat turut diberikan.

“Permintaan tinggi terhadap buah dan daun pokok tin menyebabkan harganya tinggi, pasaran semasa buah serta daun pokok berkenaan adalah antara RM80 hingga RM200 sekilogram mengikut gred dan jenis.

“Saya harap ada pihak di negeri ini berani mencuba projek tanaman pokok tin yang dilakukan secara komersial kerana ia mampu memberikan pulangan menguntungkan dalam masa singkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 12:19 PM