KEADAAN selepas bencana alama di Sulawesi, baru-baru ini. FOTO EPA
KEADAAN selepas bencana alama di Sulawesi, baru-baru ini. FOTO EPA
Fadly Samsudin

ALLAH SWT memberi peringatan kepada hamba-Nya dengan menimpakan banyak kejadian yang menakutkan. Kita semua maklum, bagaimana kaum Nabi Luth menerima azab dahsyat apabila kota yang mereka diami diterbalikkan.

Selain itu, mereka turut mengalami peristiwa cukup dahsyat apabila Allah SWT menurunkan hujan batu daripada tanah liat yang panas serta gegaran yang sangat kuat.

Azab bencana dan penghinaan daripada Allah itu akibat keingkaran serta sifat melampau mereka mengamalkan hubungan homoseksual.

Kisah kaum Nabi Luth itu adalah ‘pelopor’ buat kaum yang melakukan maksiat lalu Allah menghantar azab sehingga melenyapkan mereka dari muka bumi ini.

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am, ayat 65 bermaksud: Katakanlah: “Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana) dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah, berpuak-puak, dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain.”

“Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan pelbagai cara supaya mereka memahaminya. Katakanlah Allah SWT itu Maha Berkuasa bahawa Allah hantar azab dari sebelah atas.”

Sebab itu, Nabi SAW ketika membaca ayat itu, Baginda berdoa: “Aku mohon perlindungan daripada-Mu ya Allah dengan wajah-Mu yang mulia daripada ditimpa bala dari atas.”

Dalam ayat 65, Surah al-An’am itu juga dinyatakan, bala datang dari bawah kaki kamu. Menurut ulama tafsir, berlaku ‘ditelan’ iaitu dalam keadaan bumi terbelah lalu semuanya akan tertanam di dalamnya, berlaku gempa bumi dan seumpamanya sehingga satu kawasan itu berubah sama sekali.

Bala bencana itu sudah- pun berlaku kepada umat terdahulu. Antara tempat sejarah yang ditelan bumi adalah Fayyum di Mesir iaitu tempat Qarun ditelan bumi.

Selain itu, satu lagi kaum yang dilaknat dan dihancurkan Allah SWT adalah kaum Thamud kerana sifat bongkak, angkuh serta tidak beriman kepada Nabi Saleh AS sebagai nabi utusan Allah.

Kesan sejarah kota yang pernah dihuni kaum Thamud itu digelar Madain Saleh, terletak 400 kilometer dari Madinah.

Sisa kehancuran kota itu boleh dilihat sehingga kini untuk dijadikan iktibar buat manusia.

Keingkaran kaum Thamud menyebabkan Allah SWT menimpakan penduduknya dengan azab angin dan suara yang sangat kuat sehingga memusnahkan peradaban kaum itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.” (Surah Hud, ayat 67-68) Kaum Thamud dahulunya tinggal di gunung besar yang mereka pahat menyerupai bangunan besar. Cuma tempat seumpama itu tidak digalakkan pergi.

Bagaimanapun Nabi SAW menyatakan, jika sampai ke tempat yang dilaknat Allah itu, kita perlu menangis. Jika tidak menangis sekalipun, perlu buat-buat menangis.

Baru-baru ini, apabila berlakunya gempa bumi di Indonesia, kita menerima banyak rakaman video yang menunjukkan detik tsunami melanda terutamanya di kawasan Palu, Sulawesi sehingga keadaan ketika itu menjadi huru-hara.

Betapa kuatnya kesan tsunami itu menyebabkan kemusnahan kediaman dan bangunan. Mangsa korban juga ramai walaupun tsunami itu melanda cuma seketika saja.

Adakah kita yang masih selamat ini masih tidak mengambil iktibar apa yang berlaku? Jika bencana itu masih belum memberi rasa keinsafan, ia satu kerugian besar buat diri kita.

Sejak dari dulu hingga sekarang, sudah banyak kejadian gempa bumi berlaku. Peristiwa awal yang pernah berlaku di Madinah pada tahun 654 Hijrah apabila sebuah bukit di al-Harrah al-Syarqiyyah meletup dan mengeluarkan api.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga keluar api dari bumi Hijaz yang akan menerangi tengkuk unta di Busra (Syria).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ahli sejarah menyatakan, peristiwa itu turut diikuti gempa bumi dan gegaran yang menggoncang bangunan sehingga atap Masjid Nabi juga retak dan mengeluarkan bunyi rekahan.

Selain itu, lahar yang keluar turut disusuli asap tebal. Pada malam hari, berlaku letupan dan muncul api yang sangat besar sehingga menerangi seluruh bandar berkenaan.

Peristiwa itu berlanjutan selama tiga bulan sebelum ia berhenti.

Ia adalah salah satu tanda kiamat kecil yang menunjukkan mukjizat Nabi Muhammad SAW.

Penulis wartawan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:59 AM