GAMBARR hiasan. FOTO Arkib AFP
GAMBARR hiasan. FOTO Arkib AFP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Pernah dahulu penulis mendengar seorang profesor dalam syarahannya menyatakan bahawa ulama itu diukur pada berapa besar kesarjanaannya, lagi besar ijazah yang dimilikinya bermakna lagi besar kedudukannya sebagai ulama.

Menurut hemat penulis, jika pandangannya itu hanya untuk menambah takrif baharu pada pengertian ulama, maka ia tidak menjadi masalah dan sah sahaja. Maka, mereka yang memegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang agama, yang merupakan peringkat ijazah tertinggi boleh sahaja untuk dianggap sebagai ulama.

Tetapi, jika pandangannya bertujuan untuk memberi takrif baharu pada pengertian ulama bagi menggantikan takrif yang diwarisi, maka ini menjadi masalah serta boleh mengelirukan.

Pengertian sebenar ulama mesti yang bertepatan dengan perspektif syarak. Malah, al-Quran dan hadis sudah menyebutkan banyak ciri yang boleh dianggap sebagai kriteria ulama. Penulis mendapati Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya adalah di antara yang awal menyusun mengenai konsep dan kriteria ulama berpandukan nas al-Quran, hadis dan athar. Ini dimuatkan beliau pada bab: al-'ilm qabla al-qawl wa al-'amal (berilmu sebelum bertutur dan beramal).

Tanpa membawakan teks asal Imam al-Bukhari di sini disebabkan ruang yang terhad, penulis cuba menafsirkan dalam kupasan kali ini apa yang tersirat pada nas al-Quran, hadis dan athar yang dimuatkan beliau dalam bab terbabit. Secara tersirat, boleh difahami bahawa Imam al-Bukhari berpendapat ilmu itu mesti didahulukan sebelum mengeluarkan apa-apa pandangan dan melaksanakan apa-apa amalan. Justeru, tidak harus seseorang itu berkata-kata dan beramal tanpa sebarang ilmu.

Jelasnya sebelum digelar ulama, seseorang itu perlu menuntut ilmu serta bersungguh-sungguh mendapatkannya. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang diwarisi daripada Nabi SAW. Maka, sesiapa yang menguasainya layak disebut sebagai ulama serta dianggap sebagai pewaris (warathah) Nabi AS.

Beliau kemudian mengisyaratkan, ulama mesti mempunyai rasa takut (khasyyah) kepada Allah SWT, patuh kepada-Nya dan menggunakan akal fikirannya dengan semaksima mungkin supaya mereka tidak menghadapi penyesalan di kemudian hari. Mereka yang bersifat demikian pasti akan diangkat darjatnya oleh Allah SWT.

Ulama juga sebelumnya mesti melalui jalan tafaqquh dan ta'allum, yakni mesti mempelajari ilmu dengan cara berguru. Justeru, jika ada orang yang mengaku atau didakwa sebagai ulama, namun tidak melalui jalan tafaqquh dan ta'allum, maka orang seperti ini tidak layak digelar sebagai ulama.

Antara kriteria ulama menurut Imam al-Bukhari lagi, ia mesti seorang yang tidak takut dalam menyampaikan ilmunya, meskipun nyawanya diancam. Sepertimana kata Abu Zar RA: "Sekali pun kamu sekalian meletakkan pedang tajam di sini – sambil beliau menunjuk ke tengkuknya – kemudian aku andaikan bahawa aku ingin menyampaikan satu kalimah yang aku dengar daripada Nabi SAW sebelum kamu sekalian menyempurnakan pembunuhanku, nescaya aku pasti akan menyampaikannya." Ini kerana menyebarkan ilmu dan tidak menyembunyikannya merupakan antara kewajipan ulama yang utama.

Semua itu pada Imam al-Bukhari adalah kriteria ulama yang layak digelar sebagai golongan rabbani. Menurut Ibn 'Abbas RA, golongan rabbani ialah 'golongan yang bijaksana dan berfahaman cerdas (hukama' fuqaha'). Juga dikatakan bahawa rabbani ialah "orang yang mampu mendidik manusia dimulai dengan peringkat ilmu yang rendah sebelum peringkat ilmu yang tinggi."

Kesimpulannya, mereka yang melalui sistem pengajian secara tafaqquh dan ta'allum dengan komprehensif, mampu menggarap ilmunya dengan baik, mempunyai kaedah dan manhaj ilmu yang tersusun serta memiliki akhlak dan hemah yang tinggi, maka mereka ini layak dianggap sebagai ulama.

Tegasnya, tiada keperluan untuk mengukur ulama berdasarkan berapa besar ijazah yang dimilikinya. Sedangkan ada segelintir pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang agama, namun mereka tidak pun memenuhi kriteria ulama yang bersifat warathah sebagaimana yang diisyaratkan Imam al-Bukhari.

Oleh demikian, ciri-ciri yang umum merangkumi semua aliran fahaman termasuk yang bertentangan dengan Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ). Walaupun perbincangan daripada aspek ini adalah satu topik yang lain, namun intinya takrif dan kriteria ulama itu adalah seperti yang sudah dijelaskan. Kita tidak menafikan ulama yang bertentangan dengan ASWJ juga adalah ulama seperti az-Zamakhsyari daripada aliran Muktazilah serta Ibn Taimiyyah daripada aliran Hasyawiyyah.

Namun, pengiktirafan terhadap mereka sebagai ulama bukan bermakna turut mengiktiraf akidah pegangan mereka. Kita boleh sahaja mengambil manfaat dan faedah ilmu daripada mereka, namun aspek akidah mereka yang menyimpang mesti ditinggalkan. Demikian juga manfaat ilmu yang diperolehi daripada golongan orientalis atau non-Muslim lain sekiranya ada.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 7:00 AM