HENDAKNYA kita sentiasa bersangka baik terhadap Allah dengan keyakinan padu Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya.
HENDAKNYA kita sentiasa bersangka baik terhadap Allah dengan keyakinan padu Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Iman adalah 'kompas kehidupan' yang menjadi petunjuk kepada setiap Mukmin dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini. Tanpa keutuhan iman, sudah tentu bakal membawa natijah buruk. Enam prinsip dalam Rukun Iman wajib diyakini secara bulat di hati. Tanpa keyakinan yang mendalam terhadap keenam-enam prinsip dalam rukun teras itu akan membawa kepada kehancuran pada kehidupan seseorang Muslim.

Sesungguhnya, prinsip Rukun Iman bukan sekadar untuk dihafal secara harafiah semata-mata, tetapi ia mesti dibenihkan dalam hati sehingga memutikkan jiwa yang luhur murni. Prinsip Rukun Iman merupakan pemandu arah hala tuju seseorang Muslim dalam membawa diri dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklumi bahawa kehidupan di dunia ini bukan semudah yang dijangka dan diangan-angankan. Dunia yang kita diami ini bukan destinasi beristirahat santai menikmati kemewahan dan keselesaan. Yang pasti, Allah menempatkan kita di sini sebagai destinasi sementara menuju kebarangkatan ke alam yang kekal abadi, akhirat.

Justeru, sebagai hamba Allah, prinsip dalam Rukun Iman disediakan sebagai roadmap yang memberikan panduan bagaimana mengelola dan mengendalikan kehidupan agar tidak tergelincir ke kancah yang dimurkai Allah. Tanpa berpandukan kepada prinsip Rukun Iman, maka seseorang itu bakal meniti arus kehidupan yang penuh cabaran dan panorama di dunia dengan watak dan perwatakan yang berlawanan dengan nilai-nilai Islam.

Bukan sedikit paparan fenomena kehidupan manusia sejak akhir-akhir ini yang boleh kita tafsirkan sebagai 'longgarnya' iman dalam jiwa sehingga gaya hidup sudah lupa kepada Allah. Misalnya semasa berdepan dengan dugaan hidup seperti musibah alam. Lalu pelbagai reaksi negatif terkeluar dari mulut akibat sangkaan hati yang bukan-bukan.

Keyakinan membulat terhadap takdir Allah hilang tatkala kita sedang dihimpit dengan permasalahan hidup. Sedangkan, apabila seseorang itu memiliki iman yang teguh kukuh, maka apa sahaja musibah yang menimpa didepani dengan hati yang tenang. Hal demikian tidaklah bermaksud kita perlu menyerah sebulat-bulatnya terhadap apa yang menimpa diri. Tidak begitu, tetapi kita masih ada usaha dan tindakan dalam menanganinya dengan keyakinan bahawa akan tiba masanya Allah memberikan takdir baru yang lebih baik dan menyenangkan. 

Berdepan dengan cabaran dan dugaan hidup yang tidak pernah ada kepastian ini ada kalanya membuatkan seseorang itu mudah cepat putus asa dan dipenuhi dengan keluh resah yang tidak terhingga. Sekali gus pelbagai petaka lain menimpa diri seperti penyakit kemurungan. Kesemua itu berpunca daripada sikap kita terhadap takdir Allah. 

Sedangkan apa sahaja takdir yang ditimpakan kepada kita merupakan ujian Allah demi melihat setakat mana keutuhan keyakinan terhadap-Nya. Jadi, di sini keyakinan kepada Rukun Iman memainkan peranan penting dalam mententeramkan jiwa. Misalnya, apabila seseorang ibu bapa itu kehilangan anak tersayang, sedang ketika si anak yang menjadi buah hati intan payung itu sangat-sangat diharapkan agar terus panjang umurnya. 

Sememangnya kita diwajibkan beriman kepada takdir Allah. Namun, itu bukanlah membolehkan kita berpangku lengan tanpa bertindak untuk memulihkan apa sahaja takdir yang kurang menyenangkan kita. Misal contoh yang mudah ialah isu semasa yang sedang kita semua hadapi masa kini iaitu isu kenaikan harga barangan. Mengeluh dan resah macam mana pun itu tidak akan memberikan apa-apa keuntungan. 

Sebagai Mukmin keyakinan kepada takdir Allah dengan tercetusnya isu kenaikan harga barangan mesti ada, tetapi dalam masa yang sama kita berusaha seupaya yang terdaya untuk mengatasinya. Ada sesetengah daripada kita yang membuat dua atau tiga kerja demi mencukupi kewangan harian masing-masing. Berkat kerajinan yang tanpa banyak bersungut itu membolehkan seseorang itu menampung kewangan yang tidak cukup. Jadi, di sini menunjukkan yang seseorang itu telah berjaya mengalih satu takdir kepada suatu takdir yang lebih baik buat dirinya. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan seseorang itu, melainkan diri orang itu sendiri yang bangkit untuk mengubahnya.

Imam Muslim ada meriwayatkan sebuah hadis yang rasanya perlu kita hadam dengan mendalam. Dalam hadis ini Rasulullah SAW menegaskan: "Amat menarik sekali akan perihal orang yang beriman, sesungguhnya semua perkara yang berkaitan dirinya adalah baik baginya dan tidaklah perkara ini berlaku melainkan hanya kepada orang yang beriman. Sekiranya dia mendapat kenikmatan maka dia bersyukur dan itu adalah kebaikan buatnya. Apabila dia ditimpa kemudaratan, lalu dia bersabar dan itu juga adalah kebaikan buatnya."

Oleh yang demikian, usahlah kita biarkan diri sentiasa dirundung keresahan dan banyak bersungut dengan apa yang tertimpa kepada kita. Besar atau kecil mana sekalipun suratan takdir yang disediakan Allah kepada kita, maka perlulah kita meyakini yang Allah Maha Merancang yang terbaik buat hamba-Nya. Berdoalah, ikutilah sepenuhnya titah perintah-Nya dengan beramal ibadah yang tulus di hati sambil disusuli dengan berusaha gigih untuk mengalih takdir yang tertimpa.

Usahlah dicalarkan iman dengan tindakan berkeluh resah menyalahi takdir. Ini kerana ada takdir yang dinamakan 'takdir muallaq' yakni sesuatu ketetapan Allah yang boleh berubah dengan asbab dan ikhtiar yang kita lakukan. Dan yang amat penting ialah hendaknya kita sentiasa bersangka baik terhadap Allah dengan keyakinan padu yang Dia tidak sesekali menzalimi hamba-Nya. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang bersabda: "Janganlah seseorang daripada kamu mati melainkan dalam keadaan yang bersangka baik kepada Allah." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Yakinlah dengan keutuhan iman yang teguh akan membawa kehidupan lebih sejahtera bernaungkan reda Allah. Iman teguh, kehidupan tidak rapuh.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 6:00 AM