GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr. Azlan Shaiful Baharum

DARIPADA Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya". Hadis Riwayat al-Bukhari, No 5678

Imam al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan ia menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit serta sebagai isyarat kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah SWT.

Shaikh Musa Shaheen menyatakan yang dimaksudkan dengan 'Allah akan menurunkan ubat di bumi' ialah Allah menurunkan ilmu berkaitan perubatan dan rawatan kepada manusia di muka bumi ini.

Ulama berselisih pandangan berkenaan hukum mendapatkan rawatan kepada beberapa pendapat antaranya adalah pendapat pertama sebagai sunat.

Ini adalah pandangan dalam mazhab Syafie dan satu daripada riwayat dalam mazhab Hanbali.

Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang disebutkan sebelum ini dan mazhab Syafie menghukumkannya (mendapatkan rawatan) sebagai sunat kerana perintah untuk mendapatkan rawatan tidak qat'ie (putus).

Adapun sekiranya perintahnya berbentuk qat'ie maka hukumnya adalah wajib.

Pendapat kedua pula harus. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi, Maliki dan satu daripada riwayat dalam mazhab Hanbali.

Fuqaha' Hanafi berkata: "Maka tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan selagi seseorang beriktikad yang menyembuhkannya adalah Allah SWT."

Berkata fuqaha mazhab Maliki: "Adalah tidak mengapa untuk mendapatkan rawatan apabila ditimpa kesakitan." (Rujuk: Al-Kifayah 'ala al-Hidayah, 8/500; Syarh al-Zarqani ala al-Muwattha', 4/329; Kasysyaf al-Qina', 2/76).

Pendapat ketiga iaitu wajib. Ini adalah pandangan mazhab Zahiri, satu daripada riwayat dalam mazhab Hanafi dan salah satu riwayat dalam mazhab Syafie.

Berkata ulama mazhab Hanafi: "Mendapatkan rawatan wajib jika seseorang yakin dengan mendapatkan rawatan boleh menyembuhkan penyakit itu."

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: "Di sisi kami pandangan yang mewajibkannya (untuk mendapatkan rawatan) sekiranya dia ditimpa penyakit yang dikhuatiri akan membawa kepada kebinasaan."

Tuntasnya, hukum mendapatkan rawatan adalah amat dituntut oleh agama kerana ia selari dengan satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Juga tidaklah menolak konsep tawakal itu sendiri kerana ia ikhtiar untuk mencari kesembuhan melalui jalan yang dibenarkan di sisi syarak. Bagaimanapun, hendaklah seseorang meyakini bahawa ubat dan rawatan itu adalah ikhtiar semata-semata, tetapi yang menyembuhkan segala penyakit adalah Allah SWT.

Namun begitu hukum mendapatkan rawatan adalah berbeza mengikut keadaan dan situasi yang dihadapi setiap individu iaitu seperti berikut:

Pertama: Wajib sekiranya dengan meninggalkan rawatan akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit.

Kedua: Sunat sekiranya meninggalkannya akan membawa kepada lemahnya tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap memudaratkannya. Ia juga sunat sekiranya seseorang meninggalkan rawatan ia boleh membawa kepada pengabaian hak manusia seperti seorang bapa yang tidak mampu memberi nafkah kepada isteri dan anak serta membawa kepada pengabaian hak Allah seperti kurang cergas dalam melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa. (Rujuk: Silsilah al-Tafasir, 8/80).

Ketiga: Harus sekiranya dengan meninggalkan rawatan itu tidak akan membawa sebarang kesan seperti dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua.

Keempat: Makruh sekiranya terdapat risiko bahawa rawatan itu akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit ingin dirawat.

Sumber rujukan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dalam siri Bayan Linnas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 10:41 AM