GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Fahimi Zakaria

SYIAH merujuk kepada puak yang menyokong segala tindakan Ali RA khususnya selepas pelantikan beliau sebagai khalifah Islam keempat pada 655 (35 Hijrah).

Sejarah Syiah sangat panjang dan kian parah selepas pembunuhannya oleh Ibnu Maljam di Kufah pada 661 (41 Hijrah).

Menurut sejarawan Islam, Ibnu Khaldun RH bahawa: “Jika kita memerhatikan peristiwa ini, hakikatnya semua orang akan rugi. Namun, itulah ujian Allah SWT terhadap seluruh umat Islam.” (al-Muqaddimah)

Bagaimana kewujudan Syiah? Mengapa mereka terlalu marah kepada Aishah RA dan sahabat iaitu Talhah bin Ubaidillah, al-Zubair bin Awwam dan Muawiyah bin Abu Sufyan? Lebih dahsyat, ilmuwan Syiah lebih awal melaknat isteri dan sahabat Rasulullah SAW.

Semuanya bermula selepas pelantikan Uthman al-Affan RA sebagai khalifah Islam ketiga pada 644 (23 Hijrah).

Menurut Syeikh al-Buti, sikap tawaduk yang ada pada diri Uthman RA membuka peluang kepada golongan munafik menabur fitnah sehingga berlaku konflik dahsyat pada zaman pemerintahannya (Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah). Dalang utama episod berdarah itu ialah Abdullah bin Saba’ (Ibnu Saba’) serta pengikutnya yang melakukan perancangan jahat meruntuhkan pemerintahan Islam.

Seterusnya menyebabkan ramai sahabat Rasulullah SAW terbunuh khususnya dalam peperangan Jamal, Siffin dan Nahrawan.

Ibnu Saba’ bertanggungjawab atas fitnah dan konflik yang menyayat hati itu, bahkan perpecahan itu membawa kepada kewujudan ajaran sesat di atas muka bumi seperti Syiah, Khawarij dan Murjiah.

Semoga Allah SWT melaknat Ibnu Saba’ dan sekutunya. Kemuncak pembunuhan umat Islam dalam Perang Siffin berlaku di antara kumpulan Ali RA dengan Muawiyah RA.

Akhirnya, kedua-dua kumpulan itu memilih untuk berdamai melalui majlis Tahkim yang menjadi punca perpecahan pengikut Ali RA kepada dua kumpulan iaitu Syiah dan Khawarij.

Syiah pada awalnya hanya bersimpati dengan nasib Ali RA yang difitnah dan dituduh sebagai kafir oleh Khawarij kerana mengatakan Ali RA tidak menghukum mengikut al-Quran. (Surah al-Ma’idah, ayat 44)

Sekali lagi Ibnu Saba’ mengambil kesempatan dalam konflik itu melalui perancangan baharu iaitu membunuh Ali RA dan Muawiyah RA kerana menurut Khawarij, mereka menjadi punca konflik umat Islam ini.

Kemarahan Syiah bermula apabila Ali RA dibunuh di Kufah oleh Abdul Rahman bin Maljam (Ibnu Maljam) hasil perancangan licik Ibnu Saba’.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jangan kamu menghina sahabatku, walau kamu sedekah emas sebesar bukit Uhud sekalipun pasti tidak akan menyamai (pahala) mereka bahkan separuh sekalipun.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Imam al-Nawawi menukilkan daripada Abu Bakar, beliau pernah berkata: “Hendaklah kamu memuliakan ahli keluarga Muhammad SAW.” (Riyadh al-Salihin)

Apa yang berlaku berpunca daripada Ibnu Saba’ dan sekutunya daripada golongan munafik sehingga sahabat Nabi yang mulia itu dilaknat dan dikafirkan oleh Syiah di dalam karya ilmuwan Syiah yang menjadi sumber rujukan ajaran itu.

Tuduhan terhadap sahabat Rasulullah SAW berdosa besar dan membawa kepada kekufuran, sekali gus mengeluarkan Syiah daripada ajaran Islam.

>>Penulis pensyarah Management & Science University

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 7:55 AM