NAMA Afirah cukup dikenali dalam kalangan pelari denai tempatan.
NAMA Afirah cukup dikenali dalam kalangan pelari denai tempatan.
Hafiz Ithnin


BAKAT wanita bernama Nurul Afirah Alias, 31, ini di dalam acara larian jarak dekat kini semakin mewangi.

Boleh dikatakan setiap perlumbaan yang disertainya sentiasa berada di tangga tertinggi.

Malah, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu sebenarnya tidak menyangka bakatnya di dalam larian jarak dekat terutama membabitkan trek denai adalah kemampuan peribadinya.

Menyelak latar belakang graduan dalam bidang kimia Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, dia sebenarnya mula aktif berlari sejak di bangku sekolah lagi.

Namun, ketika itu dia tidak merasakan aktiviti larian adalah sesuatu yang bakal membuatkannya 'ketagih' selepas memulakan kerjaya.

Katanya, ketika di zaman universiti dia tidak begitu aktif di dalam larian dan hanya menyertai badan beruniform sahaja. Kemudian, apabila sudah bekerja dia mula aktif di dalam arena larian.

"Pada 2017, saya menyertai sebuah acara larian di sekitar ibu negara dan berjaya menamatkan larian itu dapat tempoh masa yang ditetapkan.

"Bermula dari situ, saya merasakan aktiviti larian ini mempunyai keseronokan tersendiri kerana ia memerlukan seseorang itu perlu mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang baik," katanya.

MEMULAKAN larian dengan fokus.
MEMULAKAN larian dengan fokus.

Jelasnya, untuk mempunyai daya tahan itu, latihan secara bijak adalah perkara paling utama dan memerlukan disiplin yang tinggi.

"Setiap hari sebaik sahaja pulang dari kerja saya akan berlari dalam jarak lima kilometer (km) hingga 10km. Selain itu, saya juga mengutamakan tempoh pemulihan selepas perlumbaan supaya badan dapat bersedia untuk menyertai perlumbaan seterusnya.

"Rehat yang mencukupi juga antara elemen yang perlu diterapkan kerana ia salah satu latihan untuk memastikan otot dan minda dapat berehat serta pulih," katanya.

Afirah berkata, perkara lain yang paling penting untuk aktif di dalam arena larian denai ialah mengetahui potensi jarak larian yang boleh dilakukan.

"Sebelum ini saya pernah menyertai acara larian ultra dan saya dapat merasakan jarak melebihi 42km bukanlah sesuatu yang mudah dan ia bukan 'forte' saya.

BEDEPAN dengan laluan sukar ketika beraksi di atas trek menjadi perkara biasa.
BEDEPAN dengan laluan sukar ketika beraksi di atas trek menjadi perkara biasa.

"Apabila menyertai jarak di bawah 30km saya mula meraih pelbagai kejayaan di dalam larian denai dan terus mengasah bakat di dalam jarak ini," katanya.

Menariknya apabila menyertai aktiviti larian itu adalah komuniti pelari tempatan saling menyokong antara satu sama lain.

"Ketika ini kita boleh lihat banyak kumpulan pelari tempatan yang aktif menjalani latihan bersama dan membuka peluang kepada orang yang baharu menceburi untuk sama-sama menyertai kumpulan mereka.

"Bagi saya ini adalah aura yang bagus di dalam komuniti larian tempatan dan saya juga menyertai salah satu komuniti larian ini yang kita dapat bersama mengasah prestasi larian," katanya.

Katanya, dia juga melihat ramai golongan yang mempunyai kerjaya profesional menyertai arena larian dan ia sesuatu yang menyeronokkan kerana boleh berkongsi pengalaman masing-masing.

USAHA yang berhasil apabila sentiasa berada di kedudukan terbaik perlumbaan.
USAHA yang berhasil apabila sentiasa berada di kedudukan terbaik perlumbaan.

"Malah saya juga melihat ramai antara pelari yang berjaya di dalam pelbagai perlumbaan memulakan aktiviti larian ketika mereka sudah mempunyai kerjaya yang baik.

"Jadi, usia sebenarnya bukan menjadi halangan utama bagi seseorang itu menggilap bakat masing-masing di dalam bidang sukan. Paling penting ialah disiplin dan sentiasa fokus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 6:20 AM