TIGA wanita cabar prestasi diri selepas menjengah usia lebih 40 tahun.
TIGA wanita cabar prestasi diri selepas menjengah usia lebih 40 tahun.
Hafiz Ithnin


BIARPUN usia barisan tiga wanita ini sudah melebihi 45 tahun, namun ia bukan penghalang untuk menyertai larian jarak jauh. Bukan setakat sejauh 42 kilometer (km), tapi melebihi 100km.

Masing-masing berusia 46, 50 dan 61 tahun ini sebenarnya bukan aktif dalam bidang sukan ketika di bangku sekolah. Namun, mereka mula mencabar prestasi diri selepas menjengah usia lebih 40 tahun.

Bagi mereka, usia bukan menjadi penghalang untuk mencabar diri dalam aktiviti kecergasan itu kerana perkara paling utama ialah mengawal ketahanan mental untuk menghabiskan larian sebelum masa penamat.

Azurawati Ali, 46 tahun

Anak kelahiran Mentakab, Pahang ini sebenarnya memulakan aktiviti larian pada usia 42 tahun. Segala-galanya bermula apabila dia aktif melakukan aktiviti kecergasan di gimnasium dan jurulatih kecergasan menyarankan beliau untuk menyertai larian jarak pendek bagi menguji prestasi diri.

Katanya, ketika kali pertama dia mendaftarkan diri dalam larian berjarak lima kilometer pada 2018 dan tidak menyangka ia menjadi permulaan 'ketagihan' terus menyertai pelbagai jarak larian. Sehingga kini lebih 40 kejohanan larian sudah disertainya.

AZURAWATI mula terbabit dalam aktiviti larian pada usia 42 tahun.
AZURAWATI mula terbabit dalam aktiviti larian pada usia 42 tahun.

"Jarak paling jauh saya pernah sertai ialah 137km dan ia perlu ditamatkan dalam tempoh 50 jam dalam satu acara baru-baru ini. Dari segi kejayaan pula, sepanjang terbabit dalam aktiviti ini apabila berjaya berada di atas podium sebanyak empat kali.

"Bagi saya podium itu adalah bonus apabila berlari ini, tetapi perkara paling penting lagi ialah untuk menguji kemampuan kecergasan diri. Selain itu, mendaftarkan diri menyertai acara larian menjadikan saya mempunyai fokus apabila berlatih," katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dari segi latihan selain melakukan latihan kekuatan fizikal di gimnasium tiga kali seminggu, latihan larian menjadi satu kewajipannya.

"Biasanya saya akan berlari tiga kali seminggu dengan jarak minimum lima hingga 10km sekali larian. Jika ada menyertai kejohanan, jumlah jarak terkumpul seminggu akan dipertingkatkan sekurang-kurangnya 50km.

"Apabila menyertai aktiviti larian ini, saya akan menjadi seorang yang peka dengan tahap kesihatan diri terutama membabitkan pernafasan dan jantung," katanya.

Shila Chan Wai Han, 50 tahun

"Bukan ingin memuji diri, tetapi apabila orang tidak mengenali saya pasti menjangkakan saya belum mencecah 50 tahun. Mungkin faktor saya aktif berlari," jelas pelari wanita veteran itu.

Kejohanan pertama disertai Shila pada 2015 dengan jarak lima kilometer. Ketika itu usianya mencecah 43 tahun. Sejak itu, dia mencabar diri untuk meningkatkan jarak larian sehingga melebihi 100km.

Bagi Shila usia bukan penentu cepat atau lambat menyertai aktiviti larian kerana ia tidak hanya membabitkan kekuatan fizikal, malah mental memainkan peranan penting.

LARIAN jarak jauh berhalang turut disertai Shila.
LARIAN jarak jauh berhalang turut disertai Shila.

"Saya bukan mempunyai latar belakang sukan sejak zaman kanak-kanak atau remaja. Cuma saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan suka bergerak. Menonton televisyen pun jarang kerana gemar kepada aktiviti yang boleh menggerakkan fizikal walaupun hanya berada di rumah.

"Setakat ini saya sudah menyertai 65 acara larian. Bagi kategori ultra iaitu lebih daripada 45km sebanyak 25 acara dan 11 acara membabitkan 100km ke atas. Tidak sekadar itu, saya juga pernah menyertai larian berhalangan jarak jauh," katanya.

Shila berkata, dari segi latihan dia tidak mempunyai latihan khusus seperti mempunyai sasaran jumlah jarak larian dalam seminggu memandangkan kadangkala setiap minggu pasti ada sahaja acara larian yang disertai.

"Saya cuma pastikan setiap hari akan melakukan aktiviti regangan sekitar 30 hingga 40 minit. Selebihnya saya akan sentiasa bergerak kerana larian jarak jauh ini memerlukan kita sentiasa bergerak mengikut kelajuan selesa masing-masing, asalkan tidak mencecah waktu penamat," katanya.

Sepanjang menyertai aktiviti larian, Shila pernah sekali berada di atas podium dengan meraih keempat untuk acara larian 100km wanita vateran. Namun, baginya kemenangan adalah bonus. Perkara lebih penting aktiviti larian semestinya untuk menyihatkan badan.

Bernardine Chin, 61 tahun

Sebaik sahaja rakan penulis memaklumkan usia pelari ini sudah mencecah 61 tahun, penulis terkedu seketika kerana pemilik nama Bernardine Chin ini bukan calang-calang aktifnya dalam aktiviti larian.

Sejumlah 47 jarak ultra marathon (melebihi 42km), 19 marathon dan wanita berasal dari Sarawak ini mula aktif berlari pada usianya 56 tahun! Malah, sepanjang pembabitannya sudah tujuh kali berada atas podium.

LARIAN denai menjadi pilihan Bernardine.
LARIAN denai menjadi pilihan Bernardine.

Bernardine berkata, sejak di bangku sekolah dia sudah aktif berlari, tetapi tidak begitu serius sehingga anak sudah membesar dan dia mengisi masa lapang dengan berlari.

Jelasnya lagi dalam aktiviti larian dia memilih untuk lebih aktif dalam acara larian denai kerana ia lebih mencabar dan memberi manfaat kepada terapi minda.

"Saya gemarkan alam semula jadi. Jadi, selalu berlari di denai. Untuk mendaki saya memerlukan stamina. Maka, aktiviti larian antara yang perlu dilakukan.

"Malah, saya pernah berlatih dengan mengumpul jumlah jarak sebulan mencecah 1,000km," katanya.

Bercerita mengenai rahsia di sebalik kecergasannya akuinya, perkara paling utama ialah mempunyai disiplin dalam latihan, tidur perlu cukup dan melatih mental menjadi kuat untuk menamatkan larian terutama ketika kejohanan.

"Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari dan waktu tidur perlu cukup lapan jam sehari kerana kualiti tidur memainkan peranan penting untuk aktiviti kecergasan.

"Mengenai usia, saya rasa ia bukan satu penghalang kerana apabila saya aktif melakukan aktiviti lasak, saya lebih peka kepada kesihatan diri," katanya.

Katanya, keluarga juga amat menggalakkan dia untuk terus melakukan aktiviti itu kerana mereka tahu aktiviti sihat itu mampu memberi kesan yang baik kepada Bernardine.

"Suami dan dua anak saya tidak pernah menghalang kerana mereka tahu ini adalah minat saya. Tambahan pula, saya juga amat dikenali sebagai 'budak nakal'," katanya berseloroh mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 6:20 AM