Muhamaad Razis Ismail


INDUSTRI minyak dan gas antara yang berisiko tinggi dan boleh membahayakan kesihatan serta kehidupan pekerja sekiranya langkah keselamatan diabaikan terutama ketika bertugas di pelantar penggerudian minyak.

Dalam hal ini, pegawai keselamatan memainkan peranan sangat penting untuk mengekalkan budaya keselamatan yang positif di tempat kerja untuk mengehadkan risiko pada tahap sifar.

Biarpun pekerjaan ini didominasi lelaki, namun ia tidak menjadi penghalang Nur Fatihah Abd Ghafar, 30, menceburi bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) sejak lapan tahun lalu.

Sifat ingin tahu dan berani melakukan sesuatu yang luar biasa menjadi pendorong anak keempat daripada lima beradik ini untuk mencabar diri menceburi bidang yang didominasikan lelaki.

Kini, anak jati Kuching, Sarawak in bertugas di pelantar penggerudian minyak Sapura Esperanza sejauh 200 kilometer dari pesisir pantai Sarawak.

Sepanjang terbabit dalam bidang ini, banyak pencapaian yang diperoleh termasuk kejayaan menyempurnakan telaga minyak pertama untuk projek pelantar penggerudian dan penyiapan bersepadu (I-RDC) di Sarawak yang tidak pernah dilakukan di rantau ini.

Selain berjaya mengurangkan jejak karbon sebanyak 1.75 tan melalui beberapa inisiatif hijau yang mendapat pengiktirafan Shell.

Nur Fatihah berkata, minat bekerja di pesisir pantai mula tercetus apabila berpeluang bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Miri selepas menamatkan persekolahan dan minat itu terus membara sehingga berjaya mendapatkan pekerjaan di Sapura Energy (Sapura Drilling).

"Untuk merealisasikan cita-cita itu, saya menyambung pelajaran dalam bidang OSH.

"Minat yang semakin mendalam dalam bidang ini membuatkan saya sangat tertarik untuk meneruskan kerjaya sebagai pegawai keselamatan.

NUR Fatihah tidak kekok bekerja dalam persekitaran yang didominasi kru lelaki.
NUR Fatihah tidak kekok bekerja dalam persekitaran yang didominasi kru lelaki.

"Saya ingin buktikan bahawa wanita juga boleh berjaya dan ingin menggalakkan supaya lebih ramai wanita menceburi bidang ini," katanya.

Menurutnya, sebagai pegawai keselamatan, dia bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan di Sapura Esperanza sentiasa dalam keadaan baik.

"Ini termasuk memastikan semua kru di pelantar minyak faham dan mematuhi polisi dan proses keselamatan sedia ada seperti Kuasa Berhenti Kerja yang memberi kuasa kepada kru untuk memberhentikan mana-mana kerja yang mereka rasa bahaya.

"Saya juga perlu menjadi penasihat kepada operasi untuk penilaian risiko di tempat kerja dan melakukan mesyuarat keselamatan untuk semua pekerja sebelum memulakan kerja," katanya.

Jelasnya, keselamatan di tempat kerja sangat penting dan amat dititikberatkan.

"Setiap kru dianggap seperti ahli keluarga sendiri. Kami sentiasa menerapkan keselamatan dalam aktiviti seharian untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan profesional," katanya.

Perlu bekerja selama 12 jam setiap hari selama 28 hari di pelantar penggerudian minyak antara cabaran yang perlu dihadapi apabila terbabit dalam bidang ini.

"Sekiranya berlaku kecemasan, agak susah dan mengambil masa untuk balik kerana pegawai keselamatan perlu berada di tempat kerja setiap masa. Jika perlu balik, perlu ada pegawai keselamatan lain berada di pelantar penggerudian minyak.

"Bagi mengurangkan kerinduan terhadap keluarga dan rakan, saya sentiasa menghubungi mereka dengan menggunakan kemudahan WiFi yang disediakan," katanya.

NUR Fatihah bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan di Sapura Esperanza sentiasa dalam keadaan baik.
NUR Fatihah bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan di Sapura Esperanza sentiasa dalam keadaan baik.

Dia tidak menafikan berasa takut dan sunyi pada awal pembabitannya dalam bidang ini ditambah pula tidak ramai wanita menceburinya.

"Bagaimanapun, perasaan negatif itu berjaya diatasi apabila kru lelaki sentiasa berusaha membuatkan saya berasa selesa dengan menganggap saya seperti ahli keluarga sendiri.

"Tambahan pula, kami tidak mempunyai sebarang toleransi terhadap sebarang gangguan seksual dan diskriminasi. Semua kru dilayan sama rata dengan sikap hormat-menghormati," katanya.

Berkenaan penerimaan keluarga, Nur Fatihah mengakui pada mulanya mereka sangat risau selepas dimaklumkan berkenaan hasratnya ingin bekerja di pelantar penggerudi minyak.

"Mereka risau dengan keselamatan saya apabila berada di laut kerana pada ketika itu tidak jelas mengenai pekerjaan ini. Bagaimanapun, kini mereka sangat bangga kerana saya membuktikan dapat menjaga diri dan pandai berdikari," katanya.

Menyedari keperluan wanita terbabit dalam bidang itu, dia berharap lebih ramai memberanikan diri untuk terbabit dalam bidang ini.

"Tiada halangan yang tidak boleh ditempuhi selagi kita tidak mencuba. Ketahanan mental yang kuat juga sangat penting untuk menghadapi cabaran mendatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 7:00 AM