Nurul Husna Mahmud

Tidak berniat untuk melangkaui bidang profesion atau mengambil tugas hakiki pengamal psikologi dan kaunseling, sebaliknya hasrat Presiden Persatuan Biblioterapi Malaysia (Perbima), Rafidah Abd Aziz, 50, hanya mahu berkongsi kebaikan menerusi membaca.

Kata wanita itu, beliau mahu lebih ramai menerima kebaikan daripada hikmah bahan bacaan tertentu yang disifatkan memiliki elemen 'penyembuhan' tatkala berdepan permasalahan atau tekanan hidup.

"Tidak dinafikan pada satu tahap, saya hampir sahaja berputus asa untuk kembangkan biblioterapi kepada umum kerana bidang biblioterapi ini tidak mendapat sambutan di Malaysia. Lebih sukar lagi apabila kempen dijalankan bagi memperkenalkan biblioterapi sering disalah anggap golongan tertentu tanpa mengetahui manfaat dan kebaikan membaca itu sendiri mempunyai keupayaan untuk penyembuhan.

"Sebaik memikirkan sokongan tanpa henti dari rakan seperjuangan, keluarga termasuk rakan penggiat biblioterapi dari negara seberang yang juga pengasas Komunitas Biblioterapi Indonesia, Susanti Agustina, ia banyak membantu saya terus fokus kepada usaha memperkenalkan bibloterapi sebagai satu terapi sokongan di Malaysia," katanya.

Tambah Rafidah, pakar terapi biblioterapi dari Indonesia itu sendiri mempelawa beliau mengikuti bengkel yang dianjurkan di Bandung sebagai dorongan untuk mengembangkan ilmu berkenaan kepada masyarakat.

"Pada 2017, adalah titik penting terhadap gerakan memperkenalkan dan mengembangkan biblioterapi ini di Malaysia apabila saya terbang ke Bandung bersama lima rakan seperjuangan untuk menyertai bengkel biblioterapi di sana.

"Saya lihat sendiri penerimaan masyarakat di sana terhadap amalan membudayakan membaca dalam kehidupan mereka sangat komited. Memerhati tingkah warga kampus di sana banyak membuka mata saya mengenai betapa pentingnya membaca. Antara perkara unik saya lihat dalam budaya di sana ialah betapa rakyatnya mencintai puisi dan menggunakan 'medium' itu sebagai ekspresi diri.

RAFIDAH bersama koleksi buku digunakan untuk biblioterapi.
RAFIDAH bersama koleksi buku digunakan untuk biblioterapi.

"Dalam aspek perkembangan biblioterapi di sana pula, saya lihat tugas pustakawan di perpustakaan bukan sekadar menguruskan perpustakaan dan pengguna, malah mereka memiliki kemahiran tambahan iaitu membantu masyarakat dalam 'penyembuhan jiwa' melalui perkongsian dan saranan bahan bacaan kepada mereka yang memerlukan.

"Semua itu memberi kesan yang kuat sehinggakan ketika pulang ke Malaysia, saya dan rakan-rakan yang mengikuti bengkel biblioterapi di Indonesia bertekad untuk mengembangkan bilblioterapi di Malaysia dengan menubuhkan Perbima pada Oktober 2017," katanya.

Mengakui perjalanan bukan mudah dan banyak halangan serta salah faham yang terpaksa ditempuh beliau dan rakan dari Perbima bagi mengembangkan bidang biblioterapi di Malaysia.

"Saya melihat kaedah biblioterapi ini sesuai untuk semua peringkat umur. Terdapat tiga pendekatan biblioterapi iaitu penyembuhan kendiri atau 'self-help', 'prescriptive' menerusi buku dicadangkan oleh kaunselor, pakar psikologi, pustakawan atau guru dan teknik kreatif iaitu bahan bacaan seperti novel dan buku bergambar.

"Biblioterapi hanya sesuai untuk diamalkan oleh individu yang mengalami masalah psikologi ringan dan terkawal serta mereka yang ingin membangunkan diri sendiri. Ia tidak sesuai diguna pakai bagi mereka mengalami masalah psikologi atau mental yang serius dan lebih kepada satu bentuk terapi sokongan atau 'suplemen' kepada hati dan jiwa seseorang.

"Seperti kesihatan fizikal iaitu badan memerlukan sajian cukup nutrisi, hati, emosi dan mental juga perlukan makanan untuk terus kekal positif termasuk menerusi membaca. Apabila mental kita sihat dan sentiasa berfikiran positif, secara tidak langsung, badan juga akan sihat.

"Saya sendiri apabila berada dalam keadaan emosi yang terganggu akan menggunakan kaedah biblioterapi untuk sembuhkan diri. Perlu melihat sudut baiknya iaitu membaca bahan bacaan yang baik dan betul serta pada masa yang sesuai boleh memberi kesembuhan pada jiwa," katanya.

Tambah Rafidah lagi, cabaran lain adalah penerimaan setiap individu atau masyarakat itu sendiri berbeza dan beliau tidak menafikan kurangnya tabiat atau dorongan membaca boleh menjadi cabaran tambahan kepada ahli biblioterapi atau bidang biblioterapi itu sendiri untuk dilaksanakan.

RAFIDAH aktif tampil sebagai penceramah untuk berkongsi manfaat biblioterapi.
RAFIDAH aktif tampil sebagai penceramah untuk berkongsi manfaat biblioterapi.

Namun itu tidak menghentikan usaha Perbima sering menjalankan kempen biblioterapi secara berterusan melalui pelbagai program dalam membantu meningkatkan kefahaman umum mengenai biblioterapi. Justeru itu, semakin ramai yang mula membuka mata dan melihat kebaikan daripada ilmu berkenaan.

"Bagi persatuan kami cuba pelbagai aktiviti dan bentuk kerjasama dilakukan dengan harapan lebih ramai mengetahui mengenai biblioterapi. Bidang ini dapat berkembang lebih mudah di pelbagai peringkat dan boleh dimanfaatkan setiap individu.

"Menjadi seorang pakar biblioterapi itu adalah impian saya. Oleh itu, buat masa sekarang saya dan Exco Perbima sentiasa mendapatkan panduan serta tunjuk ajar daripada pakar dalam bidang psikologi.

"Ia bukan untuk tujuan melaksanakan kaedah intervensi, tetapi lebih kepada perkongsian bersama masyarakat mengenai kebaikan biblioterapi, manfaatnya, teknik pemilihan bahan dan membantu dalam memberi khidmat nasihat bagi mewujudkan sudut biblioterapi di perpustakaan dan agensi lain.

"Kami mahu berkongsi apa yang kami tahu dan capai berdasarkan kapasiti serta perkongsian pengetahuan dengan golongan profesional supaya mereka boleh wujudkan terapi alternatif kepada klien selain membantu kami meningkatkan keberkesanan daripada terapi terbabit,"katanya.

Sehingga kini persatuan disertai lebih 200 ahli dari pelbagai latar belakang termasuk kaunselor dan psikologi yang menggunakan kaedah itu dalam membantu mereka yang berdepan masalah dan tekanan.

Selain memikul tugas atau peranan untuk mengembangkan biblioterapi di Malaysia, tugas hakiki Rafidah termasuk menjadi pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Maklumat (dalam bidang Pengurusan Perpustakaan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Perdana, Shah Alam.

RAFIDAH (dua dari kiri) bekerjasama dan mendalami ilmu biblioterapi daripada pakar bibiloterapi Indonesia, Susanti Agustina (dua dari kanan).
RAFIDAH (dua dari kiri) bekerjasama dan mendalami ilmu biblioterapi daripada pakar bibiloterapi Indonesia, Susanti Agustina (dua dari kanan).

"Cabaran diri saya untuk mengembangkan biblioterapi secara aktif adalah segi masa dan kundrat ketika ini yang amat terhad. Oleh itu, saya sentiasa berbincang bersama Exco Perbima dalam membuat perancangan program dan aktiviti yang boleh dianjurkan oleh persatuan.

"Selain itu, peranan sebagai isteri dan ibu kepada lima cahaya mata, mendorong saya untuk bijak membahagikan komitmen terhadap kerjaya, biblioterapi dan persatuan supaya tidak menjejaskan tanggungjawab terhadap keluarga.

"Saya sendiri sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (separuh masa) di UiTM dalam bidang biblioterapi. Ini kerana minat selain tekad kuat saya ingin membantu lebih ramai orang dengan biblioterapi,"katanya.

Beliau bersyukur perjalanan untuk mengembangkan biblioterapi itu mendapat dorongan suami tercinta, Salleh Mohd Radzi ,59, dan sokongan padu dari dekan di fakultinya, Prof TS Dr Mohamad Noorman Masrek.

"Mengenai bidang biblioterapi di Malaysia pada masa kini masih belum berkembang sepenuhnya. Kesukaran mencari institusi yang boleh mengeluarkan ahli biblioterapi juga menjadi salah satu halangan buat masa ini.

"Namun diharapkan pada masa akan datang Perbima dapat bekerjasama dengan mana-mana institusi untuk melatih lebih ramai ahli biblioterapi di Malaysia supaya dapat membantu masyarakat yang memerlukan.

"Perjalanan mengembangkan biblioterapi di Malaysia juga mula menampakkan harapan apabila sokongan yang saya terima dari universiti dan fakulti untuk merealisasikan perjalanan menubuhkan perpustakaan kanak-kanak (berkonsepkan wakaf) yang mempunyai elemen biblioterapi pertama di negara ini akan menjadi nyata,"katanya.

Beliau menjangkakan perpustakaan itu boleh beroperasi pada tahun hadapan supaya ramai kanak-kanak terutama yang terkesan dalam situasi pandemik mendapat manfaatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 7:00 AM