KEREPEK pasta rangup berperisa menjadi hidangan ringan enak.
KEREPEK pasta rangup berperisa menjadi hidangan ringan enak.
Nurul Husna Mahmud


BAGI mereka yang meminati sejarah dan juga kisah peradaban termasuk perjalanan pengembara yang belayar mengelilingi dunia pasti nama Marco Polo sudah tidak asing lagi.

Marco Polo adalah pedagang dan pengembara dari Eropah kelahiran Venesia atau republik Venesia yang kini lebih dikenali sebagai kota romantik, Venice, Itali. Menarik mengenai pengembara itu, dikatakan orang pertama yang memperkenalkan hidangan pasta ke Eropah.

Pasta antara hidangan berkembang di Itali dan memiliki tekstur padat serta lebih kenyal berbanding mi kuning. Dikatakan Marco Polo yang memperkenalkan hidangan selepas pulang dari perjalanan menjelajah dunia termasuklah mempelajari pembuatan mi kuning di China.

Kini pasta sudah dihidangkan serata dunia dan ramai melihatnya sebagai hidangan harian utama seperti mana nasi dan karbohidrat lain.

Menariknya ada beberapa idea atau penyediaan pasta boleh menjadi hidangan snek dan kudap-kudapan ketika menonton televisyen atau minuman petang.

PASTA mempunyai pelbagai bentuk dan tidak semestinya menyerupai mi.
PASTA mempunyai pelbagai bentuk dan tidak semestinya menyerupai mi.

Berikut beberapa resipi penyediaan snek berasaskan pasta boleh dicuba pembaca sebagai kelainan daripada sajian keropok atau kerepek tempatan.

1) Resipi Pertama-Kerepek pasta rangup

Bahan-bahan:

- 1 mangkuk pasta bentuk simpul (bowtie) - boleh gunakan pasta lain juga bergantung kepada cita rasa dan bentuk diinginkan.

- Sedikit minyak masak

- ¼ cawan parutan keju parmesan.

- 1 ½ sudu kecil cili cayenne

- 2 sudu kecil serbuk bawang putih

- 1 sudu kecil lada sulah

- Garam secukup rasa

PENYEDIAAN pasta menjadi sajian tradisi Itali.
PENYEDIAAN pasta menjadi sajian tradisi Itali.

Kaedah penyediaan:

1. Rebuskan terlebih dahulu pasta bersama sedikit garam dan satu sudu minyak masak. Masak sehingga lembut.

2. Toskan pasta dan pastikan ia kering sebelum digoreng. Pasta yang berair boleh menyebabkan percikan minyak ketika menggoreng.

3. Panaskan minyak dan goreng pasta sehingga menjadi tekstur seperti keropok hingga warnanya bertukar keperang-perangan.

4. Sementara menunggu pasta selesai digoreng, sediakan bahan perisa. Sediakan satu mangkuk lain dan masukkan baki bahan seperti keju, cili cayenne, serbuk bawang putih, lada sulah dan garam.

5. Masukkan pasta sudah ditos minyaknya sebelum dicampur ke mangkuk yang mengandungi bahan perisa. Gaul dengan rata dan sedia untuk disajikan.

INTI dipaip dalam ruang pasta.
INTI dipaip dalam ruang pasta.

2)Resipi kedua-Snek pasta rangup berinti

Bahan-bahan:

- ½ cawan labu (siap direbus)

- ½ cawan keju ricotta.

- ¼ badam dibakar

- ¼ cawan parutan keju parmesan.

- 1 sudu besar herba oregano

- 1 sudu kecil serbuk lada hitam

- ½ serbuk cili

- 5 sudu daging cincang/salami (direbus)

- Pasta rigatoni

- Minyak masakan

Kaedah penyediaan:

1. Rebus pasta rigatoni dan jika saiz terlalu panjang, potong dua untuk dapatkan saiz yang sesuai selepas direbus.

2. Campurkan bahan lain seperti labu, keju ricotta, parmesan, badam, herba oregano, lada hitam, serbuk cili dan daging kisar ke dalam pengisar makanan atau mesin proses makanan. Kisar halus dan dapatkan tekstur seperti berkrim.

3. Goreng pasta yang sudah ditos kering sehingga warna perang keemasan.

4. Letakkan pasta dalam bentuk kedudukan silinder. Kemudian letakkan bahan dikisar tadi ke dalam ruang di tengah pasta sebagai inti.

5. Sebaiknya sajian ini dinikmati segera bagi mengelak pasta berkenaan lembik dan tampak tidak menarik sebagai juadah petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 6:30 AM