ZAINAB tidak lokek berkongsi ilmu dengan kakitangannya.
ZAINAB tidak lokek berkongsi ilmu dengan kakitangannya.
Nurul Husna Mahmud

Biarpun sudah bergelar usahawan berjaya, Zainab Ahmad, 27, tidak pernah lupa asal usulnya sebagai anak pulau.

Dilahirkan di Pulau Tuba Langkawi, wanita kental itu mengakui kehidupan masa kecil cukup susah apabila orang tua tidak memiliki pendapatan tetap dan hidup ala kadar.

"Orang tua saya memang bukan orang senang kerana ibu saya bekerja menoreh getah sementara bapa pula hanya tukang gunting rambut di kampung.

"Pendapatan untuk membesarkan enam anak dan saya anak kelima, rasanya dengan pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 ketika itu sangat mencabar terutama tinggal di pulau kecil.

"Di pulau, harga barang memang jauh lebih tinggi maklumlah kos pengangkutan dan sebagainya. Contohnya bahan basah seperti ayam harga boleh mencecah RM30 dan sebab itu ia hanya boleh dinikmati golongan mampu.

"Bagi keluarga saya, ketika itu ia hidangan 'kayangan' dan hanya dapat dinikmati sekali sebulan. Cuma rezeki bagi orang pulau ialah hasil laut pula murah. Tiada isu kebuluran kerana hasil laut dijual dalam kampung dengan harga mampu milik," kata Pengasas Bersama MMC Food Sdn Bhd itu.

Disebabkan kesusahan hidup itu juga kata Zainab atau lebih mesra dengan panggilan Zaza dalam kalangan anak pulau, bekerja sejak usia kanak-kanak bagaikan suatu kebiasaan.

"Jika diingat kembali kehidupan 15 tahun lalu iaitu era 2000, wang saku sekolah masih 20 sen dan paling banyak 50 sen.

"Kalau hendak belanja di kantin sekolah memang untuk makan sedap tidak mencukupi. Jadi, saya bekerja di kedai makan selepas waktu sekolah untuk cari duit belanja tambahan.

"Apa juga kerja termasuk ambil pesanan, kemas meja, tukang hantar makanan dan basuh pinggan semua saya buat. Biasanya bekerja dari jam 3 petang sehingga 7 malam dengan upah RM7 sehari.

"Duit itu saya guna untuk belanja seminggu. Tetapi, saya tidak rasa susah kerana dapat ringan beban orang tua dan mempunyai duit sendiri untuk belanja.

"Orang tua saya sudah berusaha untuk beri keperluan, cuma mereka tidak mampu memberi lebih seperti mana rakan saya yang hidup selesa," katanya.

Meskipun ibu bapanya menyimpan hasrat untuk dia melanjutkan pengajian ke peringkat universiti akui Zainab, dia memilih untuk bekerja dan membantu keluarga.

"Kesusahan keluarga juga menyebabkan abang dan kakak saya berhenti sekolah awal iaitu darjah enam kerana mahu bekerja serta membantu keluarga.

"Hanya saya yang berjaya tamat sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, selepas habis sekolah saya buat keputusan bekerja dan menjadi jurujual minyak wangi di tanah besar Langkawi," katanya.

Sama dengan kehidupan anak muda lain ketika itu kata Zainab, dia bekerja hanya untuk keperluan diri dan menghulurkan wang untuk ibu bapanya tanpa memasang impian untuk ada punca pendapatan atau kehidupan lebih stabil seperti sekarang.

"Pemikiran saya di awal 20-an tiada bezanya dengan anak gadis lain ketika itu. Maklumlah ruang lingkup saya adalah dalam persekitaran yang sama.

"Jadi, saya tidak fikir jauh ke hadapan iaitu untuk ada kereta mewah atau rumah, sebaliknya fokus bekerja untuk beli keperluan seperti pakaian, alat solek dan barang yang disukai gadis ketika usia itu.

"Kemudian apabila bertemu pasangan hidup iaitu suami, Mohamad Asrul Mohd Nizam, 30, tujuh tahun lalu saya terus berkahwin.

"Sebenarnya 'wake up call' atau kesedaran untuk saya perlu ada pendapatan stabil dan kerja yang lebih baik adalah selepas kehidupan berkahwin.

"Saya yang sarat mengandung mula rasa kehidupan yang ada ketika itu perlu ditingkatkan lagi," katanya.

KELUARGA yang banyak memberi sokongan.
KELUARGA yang banyak memberi sokongan.

Dia bergelar suri rumah dan hanya bergantung kepada pendapatan suami ketika itu yang bekerja sebagai polis bantuan di lapangan terbang perlu menanggung komitmen tinggi iaitu sewa rumah serta ansuran kereta.

"Saya tidak boleh lupa bagaimana tertekannya saya ketika itu apabila duit di tangan kami hanya berbaki RM20.

"Untuk beli sepapan telur pun kami berkira-kira dan situasi itu mendorong saya mencari peluang iaitu berniaga.

"Saya berniaga tanpa modal dengan menjual barangan sabun kanak-kanak menerusi dalam talian. Saya belajar dengan pengasas produk itu cara menjual dan syukur hasil keuntungan bulan pertama saya peroleh RM600.

"Bermula sebagai ejen jualan dan kini sudah berkembang apabila memiliki perniagaan dengan rakan kongsi yang juga mentor saya, Nur Diana Matusin atau lebih terkenal dengan Che Yana," katanya.

Tambah Zainab, bagi wanita atau isteri untuk berjaya dalam bidang kerjaya termasuk perniagaan amat memerlukan sokongan pasangan.

"Saya berada dalam keadaan selesa kerana suami yang memberi sokongan. Dia bukan sahaja membantu dalam kerja penghantaran ketika saya berniaga, malah memudahkan urusan rumah tangga kami.

"Suami tidak merungut jika saya sibuk berniaga sampai tidak sempat memasak. Malah dia turut bantu urus rumah tangga dan anak-anak jika saya sibuk melayan mesej pelanggan.

"Itu tip penting terutama bagi lelaki terutama suami untuk membantu memberi sokongan kepada isteri mereka bekerja dan berniaga.

"Secara tidak langsung apabila isteri bekerja dan membantu menjana pendapatan, kewangan keluarga lebih stabil dan secara tidak langsung atmosfera perkahwinan itu sendiri lebih harmoni," katanya.

ZAINAB aktif memberi ceramah dan membantu wanita.
ZAINAB aktif memberi ceramah dan membantu wanita.

Akuinya, bukan keuntungan sahaja dikejar, sebaliknya ibu kepada tiga cahaya mata itu berharap wanita di luar sana mengambil sudut pandang positif dalam keadaan ketidaktentuan terutama dalam situasi semasa yang mana ramai terjejas dan hilang pendapatan akibat pandemik.

"Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman sendiri kerana kebelakangan ini kerap mendengar dan melihat banyak isu berkaitan wanita yang mengalami kesempitan serta tekanan hidup.

"Malah saya berasa penting bagi wanita itu sendiri ada kesedaran dan berusaha mencari peluang serta kesempatan untuk mereka tingkatkan kualiti hidup menerusi perniagaan.

"Dari sibuk membandingkan kehidupan orang lain, kita mengintai peluang perniagaan atau skil diri bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi dan stabilkan hubungan bersama pasangan," katanya.

Baginya, bukan sahaja dengan meningkatkan ekonomi dapat membantu menikmati hidup lebih baik, malah dapat menyumbang serta menolong orang lain.

"Alhamdulillah apabila sudah senang, saya rasa paling penting ialah dapat berbakti kembali kepada orang tua. Orang tua saya sudah uzur, jadi saya dapat berikan kemudahan lebih baik iaitu dengan mengubah suai rumah mengikut keperluan mereka.

"Selain itu saya juga dapat bantu adik-beradik lain yang juga susah. Mereka ini dapat menjalani kehidupan. Bagi saya keluarga antara orang paling penting perlu diberi sokongan. Saya sendiri sesibuk mana kalau ada kelapangan memang lebih suka luang masa dan masak untuk anak-anak serta suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 10:32 AM