PIHAK Nestle menyampaikan  pek Bekalan Nutrisi kepada keluarga B40.
PIHAK Nestle menyampaikan pek Bekalan Nutrisi kepada keluarga B40.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Bagi memberikan sokongan nutrisi kepada komuniti yang terjejas dan berpendapatan rendah, Nestle EVERYDAY bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) bagi mengedarkan lebih 20,000 pek Bekalan Nutrisi kepada keluarga B40.

Inisiatif komuniti itu adalah sebahagian daripada kempen Bekalan Nutrisi Nestlé EVERYDAY bagi mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan pengambilan nutrisi yang baik untuk penjagaan kesihatan, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran pandemik Covid-19.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Milks Business Unit, Nestle (Malaysia) Berhad, Lam Pui Yuee berkata, ini adalah masa yang kritikal untuk memastikan semua rakyat Malaysia, terutamanya keluarga B40 yang kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah untuk mendapatkan nutrisi asas.

Kata Pui Yee, cabaran kewangan dan gaya hidup yang tidak aktif sepanjang tempoh pandemik Covid-19 menyebabkan kebanyakan ahli keluarga serta kanak-kanak terabai dari segi pemakanan sihat dan seimbang.

Katanya, harapan mereka adalah semoga ia dapat meningkatkan kesedaran dan membawa perubahan yang berkesan bagi meningkatkan pengambilan nutrisi terutamanya dalam kalangan komuniti rentan.

"Kami di Nestle menyedari cabaran yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah, akibat kekurangan nutrien dalam kalangan komuniti B40.

"Komitmen kami terhadap pemakanan sihat dapat dilihat dalam usaha berterusan untuk menyediakan produk berkualiti tinggi yang enak, berpatutan dan berkhasiat buat semua rakyat Malaysia.

"Kami komited akan terus membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Setiap pek berkenaan dilengkapi dengan susu tepung Nestle EVERYDAY 300 gram (g) dan NESTUM All Family Cereal 250 g yang dapat membekalkan vitamin serta mineral penting bagi menyokong pertumbuhan kanak-kanak mahu pun kesejahteraan keluarga.

Ini kerana, pemakanan sihat dan seimbang penting dalam mengekalkan sistem imunisasi yang baik bagi mencegah, melawan, memulihkan masalah kesihatan serta memperkuatkan daya tahan diri.

Menurut kajian yang dilakukan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) bertajuk 'Families on the Edge' (Mei 2021), terdapat peningkatan dalam tahap kebimbangan terhadap pemakanan dan nutrisi dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Ia adalah ketika pandemik, di mana masalah kekurangan zat makanan dan obesiti semakin lazim dalam komuniti B40 di Malaysia.

Sementara itu, Nestle juga bekerjasama dengan ElewsMart untuk memudahkan rakyat Malaysia menyumbang ke arah kebajikan.

Dengan pembelian minimum sebanyak RM15 dan ke atas bagi mana-mana produk susu Nestle iaitu NESTLE EVERYDAY, NESTLE OMEGA PLUS, NESPRAY dan NESTUM di cawangan kedai serbaneka itu di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur, pelanggan akan menerima satu pek Bekalan Nutrisi (sementara stok masih ada) yang boleh juga didermakan kepada pihak ElewsMart untuk tujuan pengagihan bank makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:27 PM