AMALAN wanita etnik Yao dalam memilik rambut yang panjang dan sihat.
AMALAN wanita etnik Yao dalam memilik rambut yang panjang dan sihat.
Nurul Husna Mahmud

Bagi negara di rantau Asia termasuk Malaysia, nasi menjadi makanan utama dan penyediaannya, beras perlu dibasuh bersih serta ditanak terlebih dahulu.

Biasanya air basuhan beras akan dibuang. Tapi tahukah anda basuhan air beras adalah petua orang dahulu dalam menjaga kecantikan?

Tidak terkecuali wanita etnik Yao di perkampungan Huanglu, China yang terkenal kerana memiliki rambut tebal hitam berkilat selain panjang mengurai melebihi dua meter dikatakan turut menggunakan air basuhan beras sebagai syampu dan perapi semula jadi.

Air basuhan beras juga dikatakan antara bahan penjagaan kecantikan yang alami kerana mengandungi nutrien penting bagi kesihatan kulit dan rambut.

Dalam beberapa kajian pernah dilakukan terhadap kandungan nutrien yang baik dalam air basuhan beras menemui elemen mineral, antioksida, vitamin dan lapan asid amino yang penting.

BILAS rambut dengan air beras kaedah organik dalam penjagaan rambut.
BILAS rambut dengan air beras kaedah organik dalam penjagaan rambut.

Malah dalam satu Jurnal Antarabangsa Sains Kosmetik 2010, kajian terhadap kesan basuhan air beras terhadap rambut mendapati ia mampu mengatasi masalah rambut gugur dan bercabang apabila satu kompoun karbohidrat dinamakan Inotisol membantu meningkatkan kualiti kesihatan rambut dengan memberi tekstur lebih anjal dan utuh.

Selain itu, asid amino dalam basuhan air beras juga dikatakan menjadi penggalak kepada pertumbuhan rambut dan mengurangkan masalah radang serta rambut gugur.

Jika air basuhan itu disimpan atau diperam pula, ia menghasilkan khasiat lain iaitu kandungan asid organik dipanggil 'pitera' tinggi vitamin dan mineral yang turut menjadi regen sel dalam mengekalkan kesihatan kulit.

Malah ada jenama tersohor menggunakan elemen ini sebagai formulasi utama dalam penghasilan produk kecantikan dan juga rahsia anti-penuaan kulit.

Andai kata anda kehabisan pencuci muka dan syampu, apa kata hasilkan sendiri produk untuk penjagaan kulit dari dapur rumah anda.

AIR beras yang diperam untuk hasilkan nutrien lebih baik.
AIR beras yang diperam untuk hasilkan nutrien lebih baik.

Berikut penulis ingin kongsikan penyediaan air basuhan beras untuk kulit dan rambut anda:

Kaedah pertama:

Air rebusan beras

• Rebus secawan beras organik dengan air bersih. Ketika nasi dimasak, tapis air ke dalam ke dalam bekas bersih dan biarkan sejuk.

• Simpan air beras ini ke dalam bekas kedap udara dan letakkan dalam peti sejuk selama tujuh hari.

• Cairkan satu atau dua sudu larutan pekat air rebusan beras tadi dengan secawan air untuk digunakan sebagai bilasan rambut atau pencuci muka.

Kaedah kedua:

Air basuhan beras

• Terdapat dua pendapat dalam penyediaan air basuhan beras Pertama, basuh secawan air beras organik dengan secawan air sebanyak dua kali basuhan. Air bilasan pertama disimpan untuk penggunaan sebagai air campuran lulur badan jika digunakan bersama garam kasar. Sementara air bilasan kedua barulah untuk cucian muka atau bilasan rambut.

• Larutan ini disimpan dalam peti sejuk antara tiga hingga empat hari. Goncangkan terlebih dahulu sebelum digunakan. Sebelum itu campurkan setiap satu sudu air basuhan beras itu dengan tiga sudu air.

BERAS adalah sumber makanan utama dan mempunyai kebaikan sebagai ramuan kecantikan.
BERAS adalah sumber makanan utama dan mempunyai kebaikan sebagai ramuan kecantikan.

• Pendapat kedua ialah bilas secawan beras dan tambahkan dua cawan air ke dalam bekas basuhan. Biarkan beras terendam lebih kurang 30 minit sebelum dikacau dan ditos ke dalam bekas bersih. Larutan itu disimpan dalam bekas kedap udara atau botol yang tertutup dan diletak di dalam peti sejuk antara tiga hingga empat sebelum digunakan.

• Larutan tadi perlu dicampur air dengan 1: 3 sebelum boleh digunakan. Lebih baik jika sebelum diperam larutan itu dipanaskan terlebih dahulu.

Kaedah pemakaian air basuhan beras

Bagi mendapatkan hasil lebih baik, cuci terlebih dahulu rambut menggunakan syampu kegemaran. Tuangkan air campuran basuhan beras, air biasa dan urut kulit kepala dengan lembut selama sepuluh minit. Gunakan hujung jari dan elak kuku mengenai kulit kepala.

Basuh dengan air biasa selepas urutan kepala. Lakukan antara dua hingga tiga kali seminggu. Bagi rambut yang bercabang, gunakan air basuhan beras sebagai bilasan terakhir ketika mencuci rambut.

Sementara bagi wajah pula, pati air beras tadi membantu mengatasi masalah kulit mengelupas dan ekzema. Gunakan sebagai pencuci atau pelembap dengan kaedah basahkan kapas muka serta tekap pada kulit kira-kira 15 hingga 20 minit.

Bagi kesan lebih baik, lakukan urutan membulat pada bahagian muka bagi mengoptimumkan penyerapan nutrien baik daripada pati air beras ke dalam kulit. Disarankan ia dilakukan dua hingga tiga kali seminggu sebelum tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:10 AM