IBUNYA terima banyak cabaran akibat komplikasi penyakit kencing manis dihidapi sejak 1988.
IBUNYA terima banyak cabaran akibat komplikasi penyakit kencing manis dihidapi sejak 1988.
Nurul Husna Mahmud


HAL penjagaan ibu bapa yang uzur dan terlantar sakit jarang sekali dibicarakan berbanding isu kekeluargaan lain seperti perkahwinan serta perkembangan anak-anak.

Sedangkan dalam ekosistem masyarakat masa kini, peranan anak cukup penting dalam menjaga kebajikan ibu bapa terutama apabila kesihatan mereka mula merosot.

Polemik isu membabitkan hal menjaga orang tua tercetus apabila ada antara anak tergamak bertindak lepas tangan kerana tidak mampu selain mengharapkan saudara kandung atau ahli keluarga lain bertanggungjawab terhadap orang tua mereka.

Namun berlainan bagi Asyrah Ahmad Azam, 35, apabila dia bersama lima adik-beradik bertekad menjaga ibu, Mariatul Kabtiah Mat Ishak, 62, penghidap penyakit buah pinggang kronik.

Katanya, meskipun masing-masing tinggal berjauhan dan sudah memiliki keluarga dan kerjaya sendiri, dia serta saudara lain tidak culas menunaikan tanggungjawab menjaga ibu yang sakit.

CONTOH kepada anak-anak.
CONTOH kepada anak-anak.

"Sejak 2018, ibu sudah menunjukkan tanda-tanda menghidap sakit buah pinggang yang serius apabila badan mula mengalami bengkak air selain muka menjadi sembap. Apabila diperiksa memang sakit buah pinggang tahap empat dan perlu menjalani dialisis.

"Dia tidak mahu jalani dialisis hingga sanggup minta kami adik-beradik biarkan dia mati. Saya dan adik-beradik faham tetapi kami pujuk dan minta dia lebih kuat dengan sokongan keluarga.

"Bagi saya, ibu saya seorang wanita cukup kuat dan dugaan ini antara terbesar selepas kemalangan pada tahun 2007 apabila dia turut mengalami patah tangan dan tulang rusuk," katanya.

SENTIASA mencari ruang untuk mengerat hubungan termasuk bercuti bersama.
SENTIASA mencari ruang untuk mengerat hubungan termasuk bercuti bersama.

Lebih menguatkan semangat Asyrah untuk berbakti kepada ibunya itu adalah dorongan suaminya yang sanggup memandu pulang ke kediaman keluarga di Taiping, Perak pada hujung minggu sejak 2019 lagi.

"Penting apabila orang tua sakit, adik-beradik berbincang dan sepakat. Dalam kes saya, alhamdulillah kami berkongsi tanggungjawab dan paling kami hargai pengorbanan adik keempat, Amalina Ahmad Azam, 33, sanggup ketepikan dulu impian dan tolak tawaran kerja demi jaga orang tua.

"Begitu juga dengan adik-beradik lain dan ipar duai yang sanggup pikul tanggungjawab pulang secara bergilir setiap hujung minggu untuk jaga ibu," katanya.

Asyrah menyifatkan berbakti kepada ibu sendiri sangat penting kerana menjadi contoh buat anak-anaknya yang sedang membesar.

"Satu impak paling terkesan pada saya ialah apabila anak sulung, Akeef Zubayr Muhammad Za'im Zaki, 10, pernah cakap dia mahu jaga saya seperti mana saya jaga neneknya.

"Saya berharap setiap perbuatan baik termasuk berbakti kepada orang tua boleh menjadi teladan buat anak-anak," katanya.

MESKIPUN sibuk serta cabaran tidak dapat merentas sempadan negeri, panggilan video bantu pantau perkembangan ibu.
MESKIPUN sibuk serta cabaran tidak dapat merentas sempadan negeri, panggilan video bantu pantau perkembangan ibu.

Sementara itu bagi Amalina, cabaran utama dalam menjaga orang tua yang sakit ialah 'mengendali' emosi kerana proses rawatan yang menyakitkan dan panjang.

"Ibu saya sudah menghidap penyakit kencing manis sejak 1988 lagi selepas komplikasi bersalin dan 2005, dia mula menghidapi darah tinggi.

"Pada 15 Januari 2019 ibu saya terpaksa buat pembedahan pasang tiub (permanent catherer) untuk dialisis.

"Kalau ikutkan prosedur di hospital kerajaan, biasanya mereka akan lakukan pembedahan 'fistula' (tapak), namun saluran darah terlalu kecil dan keadaannya juga teruk termasuk ada jangkitan paru-paru.

"Kemudian beralih dari dialisis darah kepada air apabila ibu saya jalani pembedahan pemasangan tiub APD (dialisis air) di bahagian perut. Untuk dialisis ini saya dan adik bongsu menjalani latihan supaya boleh mengendalikan di rumah," katanya.

Menceritakan cabaran, katanya komitmen menjaga ibunya ketika sedang menyambung pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) cukup mencabar.

"Belajar sendiri sudah cukup stres apatah lagi kena tulis tesis dalam wad. Jadi, masa jaga ibu masih buat kerja menghadap komputer riba adakala buat dia rasa sedih sebab kurang dapat perhatian.

"Saya cuba 'serap' semua tekanan dengan luahkan kepada adik-beradik, berbual dengan keluarga dan pesakit dialisis selain banyak berdoa serta berfikiran positif,"katanya.

Amalina berkata, penting untuk kawal diri dalam menjaga ibu bapa yang sakit kerana mereka ini sensitif.

"Saya selalu bagi semangat dan bergurau senda selain empati iaitu dengar luahan selain mencari solusi dan diplomasi supaya ibu saya boleh faham.

"Selain itu anak menjaga ibu yang sakit perlu tingkatkan skil dan rajin belajar mengenai penyakit agar memudahkan mereka kendali orang tua. Tetapi pastikan sumber untuk ilmu itu sahih iaitu benar-benar ada kelayakan," katanya.

Sementara itu Kaunselor Keluarga, Hushim Salleh berkata, anak-anak perlu semaikan sikap ihsan dalam diri selain sentiasa rasional dalam menghadapi kerenah ibu bapa yang sakit.

"Penting apabila anak-anak berhadapan ibu bapa yang sakit mereka kena ada 'mind set' termasuk sematkan dalam diri sifat 'ihsan' iaitu sifat kasih sayang pada orang tua.

"Jadi apabila mereka berdepan dengan pelbagai kerenah ibu bapa, mereka kena 'recalled' sikap itu adalah pantulan kerenah zaman kanak-kanak yang mana ibu bapanya pernah lalui ketika menjaga dirinya.

"Biasanya anak -anak akan berdepan isu seperti ibu bapa mereka buat perbandingan dengan anak-anak lain selain faktor persekitaran iaitu keadaan rumah kurang selesa menyebabkan adakala anak itu tertekan.

"Naturalkan kembali rasa negatif dengan pemikiran rasional selain dibantu dengan jalani kaunseling atau berbincang dengan saudara lain untuk dapatkan sokongan emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:00 AM