JALAN kaki dapat membantu kesihatan jantung (gambar hiasan).
JALAN kaki dapat membantu kesihatan jantung (gambar hiasan).
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Seramai 14,788 rakyat Malaysia menyahut cabaran berjalan secara maya, Walk A Million Miles anjuran Nestle Omega Plus bagi memerangi kolestrol demi kesihatan jantung.

Jumlah itu direkodkan pada minggu ketiga selepas kempen berkenaan dilancarkan awal bulan ini sempena sambutan Bulan Jantung Sedunia.

Inisiatif itu selari dengan usaha untuk mewujudkan kesedaran terhadap kesihatan jantung, di samping menawarkan satu penyelesaian mudah supaya rakyat Malaysia dapat mengambil langkah pertama dalam penjagaan kesihatan jantung mereka dengan berjalan bersama-sama.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Susu, Nestle (Malaysia) Berhad, Lam Pui Yuee berkata, sehingga 18 September lalu, sejumlah 533,337 batu (bersamaan 1.3 juta langkah) berjaya direkodkan.

"Kami bangga dengan kemajuan yang dicapai rakyat Malaysia dalam acara Walk A Million Miles setakat ini dan gembira kerana ia dilakukan bukan sahaja untuk kesihatan jantung peserta tetapi juga untuk membantu pesakit jantung yang memerlukan," katanya.

Menurut Pui Yuee lagi, selepas sasaran satu juta langkah berjaya dicapai, pihak Nestle Omega Plus akan menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada rakan kerjasama kesihatan jantungnya iaitu Yayasan Jantung Malaysia (YJM) dan Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) untuk membantu pesakit jantung yang memerlukan.

Katanya, YJM dan IJNF menjadi rakan kerjasama dalam pelbagai inisiatif kesihatan jantung sejak sekian lama kerana kami mengambil berat akan isu berkenaan.

"Masih ada beberapa hari lagi sebelum berakhirnya Bulan Jantung Sedunia dan kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah menyertai Walk A Million Miles.

"Ia bukan sahaja demi kesihatan jantung kita sendiri tetapi juga mereka yang memerlukan," katanya.

TABIAT pemakanan tidak sihat, waktu kerja yang panjang, dan kekurangan senaman adalah antara faktor yang menyumbang penyakit jantung (gambar hiasan).
TABIAT pemakanan tidak sihat, waktu kerja yang panjang, dan kekurangan senaman adalah antara faktor yang menyumbang penyakit jantung (gambar hiasan).

Dalam pada itu, Azri Adam, 49, yang disahkan menghidap penyakit jantung sejak tahun 2014 berkata, akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan yang tidak sihat, dia kini perlu kerap berkunjung ke IJN.

"Pemakanan yang seimbang dan gaya hidup aktif adalah penting. Saya terharu apabila mengetahui rakyat Malaysia berjalan bersama-sama untuk memberi sokongan kepada pesakit jantung seperti kami," katanya yang juga salah seorang penerima IJNF.

Bagi pesara penyelia tapak pembinaan, Muttukumar A/L G Krisnan, 62, dia disahkan menghidap penyakit jantung pada umur 42 tahun.

Katanya, sebelum itu dia sering pengsan di tempat kerja dan akhirnya dirujuk ke IJN akibat komplikasi penyakit jantung.

"Tabiat pemakanan yang tidak sihat, waktu kerja yang panjang dan kekurangan senaman antara faktor menyumbang kepada keadaan saya sekarang.

"Berilah perhatian kepada kesihatan anda. Saya berharap pengalaman ini memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menjaga diri mereka dengan lebih baik," katanya yang turut berhenti merokok dan tidak mengambil minuman keras demi menjaga kesihatannya.

Sementara itu, sesiapa sahaja boleh mengambil langkah pertama dengan menyertai acara berkenaan dan berjalan setiap hari mengikut rentak masing-masing.

Ia bagi memulakan tabiat baru yang dapat diterapkan ke dalam rutin penjagaan kesihatan jantung.

Sempena penganjuran kempen itu juga, program menarik turut disediakan antaranya siaran langsung sesi senaman bersama Sharifah Sakinah dan Zul Ariffin serta demonstrasi resipi sihat jantung cef selebriti Datuk Fazley Yaakob menerusi rancangan Helo Doktor di TV3, pada 27 September ini pada jam 5.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 6:20 AM