ROSLINAWATI (kanan) bersama suaminya, Mohammad Firdaus. FOTO Ihsan Mohammad Firdaus Zainal
ROSLINAWATI (kanan) bersama suaminya, Mohammad Firdaus. FOTO Ihsan Mohammad Firdaus Zainal
Muhamaad Razis Ismail

BARISAN hadapan terutama petugas perubatan antara yang paling berisiko terkena jangkitan pandemik Covid-19.

Biarpun menyedari risiko itu, mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

Kepuasan pada mereka adalah dapat melihat pesakit kembali sembuh sepenuhnya seterusnya menjalani kehidupan normal.

Dalam usaha itu, mereka perlu berada di hospital hampir sepanjang masa. Petugas wanita terutama yang berhijab perlu sentiasa memastikan pakaian termasuk tudung sentiasa dalam keadaan bersih.

Menyedari perkara itu, pasangan suami isteri, Mohammad Firdaus Zainal, 40 dan Roslinawati Misdi, 40, membantu menyumbangkan tudung menerusi program CSR Tudung Hospital Himayya untuk keselesaan mereka.

PETUGAS barisan hadapan menunjukkan tudung yang diperoleh. FOTO Ihsan Mohammad Firdaus Zainal
PETUGAS barisan hadapan menunjukkan tudung yang diperoleh. FOTO Ihsan Mohammad Firdaus Zainal

Pasangan itu yang juga pengarah syarikat tudung Himayya mengambil inisiatif menjahit dan menyumbangkan 9,000 tudung kepada petugas di beberapa hospital di negara ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Antara hospital yang dibantu termasuk Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Kota Belud dan Hospital Tampin.

Roslinawati berkata, idea untuk menjalankan aktiviti kebajikan itu tercetus selepas mendapatkan maklumat bahawa petugas wanita di Hospital Sungai Buloh yang dijadikan sebagai hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit memerlukan tudung terpakai.

Katanya, difahamkan petugas perlu menukar tudung yang sudah digunakan menyebabkan mereka amat memerlukan kelengkapan itu.

“Menyedari perkara itu, sebagai sebuah syarikat tudung kanak-kanak, kami rasa terpanggil untuk membantu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk bersama-sama memerangi wabak ini.

“Untuk program pertama kami sudah menyumbangkan 3,000 tudung yang menggunakan kain jenis lycra dan disumbangkan di beberapa hospital yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

ANTARA 9,000 tudung diagihkan kepada petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan Mohammad Firdaus Zainal
ANTARA 9,000 tudung diagihkan kepada petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan Mohammad Firdaus Zainal

Menurutnya, kini pihaknya mengedar 3,000 lagi tudung di beberapa hospital lain yang memerlukan.

“Kami turut mendapat bantuan 1,400 ejen pesan-hantar (dropship) dan rakan- rakan mereka yang membeli tudung bernilai RM29 pada harga RM8 sahaja untuk membantu.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan dan maklum balas yang diberikan amat positif dengan usaha yang dijalankan.

“Selepas ini, kami akan bekerjasama dengan UMW Corporation Sdn Bhd yang bersedia untuk menaja 3,000 lagi tudung kumpulan ketiga,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Firdaus berkata, proses untuk menghasilkan tudung ini tidak mudah terutama dalam tempoh PKP ini.

“Banyak proses yang kami perlu lalui termasuk dapatkan kebenaran untuk membuka kilang dan gudang untuk menjahit tudung ini.

“Ada juga yang dakwa tudung yang disumbang ini untuk habiskan stok sedia ada, sedangkan ini tudung baru yang dijahit khas untuk barisan hadapan,” katanya.

Katanya, sebelum ini penghantaran dibuat sendiri dan menggunakan khidmat kurier.

“Tapi sekarang kami bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Impact membantu menghantar sumbangan secara percuma. Kami juga bekerjasama dengan MedTweetMY,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:30 AM