JANGAN membandingkan situasi romantik pasangan lain kerana boleh menyebabkan hubungan negatif rumah tangga. FOTO Sumber Google
JANGAN membandingkan situasi romantik pasangan lain kerana boleh menyebabkan hubungan negatif rumah tangga. FOTO Sumber Google
Hafiz Ithnin

"CEMBURUNYA tengok si dia. Suami bagi bunga, gambar di media sosial semuanya romantik. Tak macam suami aku, nak pegang tangan pun susah depan orang," kawan perempuan penulis mengomel sambil melihat foto kenalannya di Instagram.

"Suami aku memang tak pandai ambil gambar 'sweet' kalau dengan aku. Tapi itulah, nombor enam diam tak diam (sambil mengusap kandungannya berusia lima bulan)," sampuk seorang lagi kawan. Berderai kami ketawa petang itu.

Perbualan ringkas itu membuatkan penulis terfikir adakah sebenarnya romantik itu perlu ditunjuk kepada umum atau adakah ukuran romantis suatu pasangan itu hanya dapat ditonjolkan menerusi material?

Menjawab persoalan itu, pensyarah di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Norwati Mansor berkata, romantik ialah mempamerkan suasana penuh kasih sayang, kemesraan seperti orang bercinta.

Manakala, di dalam Islam terhad kepada pasangan yang berkahwin.

Jelasnya, suasana romantik wujud sebabkan rasa cinta dan ia bersifat eksklusif serta tidak boleh dinilai dalam ukuran tertentu iaitu merujuk kepada sesuatu yang subjektif.

"Memandangkan romantik itu sesuatu yang subjektif, kita tidak boleh menilai pasangan dengan membuat perbandingan dengan orang lain kerana dalam diri manusia mempunyai rasa kasih sayang tersendiri sama ada mereka gemar untuk tonjolkan atau sebaliknya.

TERLALU menunjuk rasa romantik suami dan isteri kepada orang lain tidak digalakkan. FOTO Sumber Google
TERLALU menunjuk rasa romantik suami dan isteri kepada orang lain tidak digalakkan. FOTO Sumber Google

"Mungkin sesetengah orang merasakan romantik itu apabila diberikan kata-kata penghargaan apabila sesuatu usaha dilakukan pasangan mereka dan ada juga merasakan apabila dibalas dalam bentuk fizikal seperti pemberian hadiah itu dilihat sebagai romantik. Ia sebenarnya bergantung kepada individu itu untuk menilai secara halus," katanya.

Pakar psikologi itu turut menjelaskan, nilai romantik itu seharusnya menjadi sesuatu yang eksklusif kepada pasangan dan tidak wajar untuk terlalu ditonjolkan kepada khalayak kerana ia boleh mewujudkan suasana perbandingan dengan orang lain, sekali gus menjadikan aura hubungan dalam persahabatan misalnya tidak baik.

"Kepada diri sendiri pula, kita jangan membandingkan tahap romantik pasangan dengan orang lain kerana terpengaruh dengan foto yang dimuat naik kerana ia juga boleh mengundang suasana yang tidak harmoni perasaan dengan suami atau isteri.

"Seperti yang dikatakan setiap manusia wujud rasa kasih sayang, tetapi kadangkala individu itu tidak biasa menonjolkannya secara terang-terangan," katanya.

Jelasnya, apabila merasakan suami atau isteri tidak romantik, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan individu berkenaan antaranya sentiasa meletakkan perkahwinan itu adalah rezeki yang dikurniakan

Pencipta kepada manusia dan perlu dijaga dengan baik.

"Jangan sentiasa mencari kesalahan diri pasangan kerana merasakan suami atau isteri tidak romantik apatah lagi 'membina rumah tangga' ertinya kita menjadi kontraktor dalam hubungan.

"Apabila mendirikan rumah tangga kita sebenarnya setiap hari belajar mengenai diri pasangan yang mempunyai latar kehidupan yang berbeza dengan kita memandangkan cara setiap individu membesar dengan situasi yang berbeza. Jadi perlu faham keadaan itu meskipun sukar," katanya.

Dr Norwati berkata, dalam mewujudkan romantik hubungan suami isteri, komunikasi dengan baik juga adalah penting kerana menerusi cara itu, suami atau isteri dapat memahami kehendak pasangan mereka.

"Cara berkomunikasi juga perlu mempunyai teknik antaranya memilih waktu yang sesuai kerana situasi memainkan peranan penting bagi setiap individu memahami maksud yang ingin disampaikan.

"Apabila bercakap perlu seiring dengan gerak tubuh supaya pasangan dapat merasakan aura ketika berkomunikasi seperti mengucapkan tahniah sambil tersenyum. Menerusi cara itu mungkin dapat menjentik rasa romantik pasangan yang terpendam," katanya.

Katanya, berfikiran positif juga memainkan peranan penting kerana romantik itu tidak semestinya ditonjolkan dengan kata-kata mesra suami atau isteri kepada pasangannya.

"Misalnya, isteri masak dan suami makan dengan penuh berselera, tetapi tidak mengungkapkan sebarang kata pujian. Kita jangan merasakan 'saya penat masak, hanya tahu makan sahaja.' Perkara itu adalah tidak betul.

"Sebenarnya apabila suami itu makan dengan berselera maksudnya dalam diam dia memuji masakan yang kita sediakan. Mungkin bukan sifat dia untuk terus memuji dengan kata-kata, tetapi perbuatannya menjurus kepada memuji apabila kita berfikiran positif," katanya.

Jelasnya lagi, dalam hubungan suami isteri rasa menghargai itu perlu wujud bagi memastikan hubungan keluarga terus erat. Selain itu, sifat membandingkan romantik suami atau isteri dengan pasangan lain haruslah dihindari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 7:00 AM