LIM Hock San
LIM Hock San

BINA Group Berhad (LBS) berharap kerajaan dapat melanjutkan kempen pembelian rumah (HOC) melalui pembentangan Belanjawan 2020 yang akan diumumkan bulan depan.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pemilikan rumah memainkan peranan utama dalam memastikan kesejahteraan negara dari segi sosial dan ekonomi.

“Kami di LBS berharap kerajaan dapat meneruskan komitmen untuk mendirikan lebih banyak rumah mampu milik bagi keselesaan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, selain isu pemilikan rumah, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memudahkan akses pilihan pembiayaan kepada pembeli rumah pertama.

“Kami berpendapat bahawa tempoh pinjaman perumahan perlu dilanjutkan daripada 35 tahun kepada tempoh maksimum selama 40 tahun bagi semua jenis hartanah.

“Malah, untuk memudahkan proses pemilikan kediaman, pinjaman perumahan 100 peratus perlu diberi bagi graduan muda dan profesional,” katanya.

Lim berkata, untuk merangsang pertumbuhan pasaran hartanah sekunder, LBS mengesyorkan penyelarasan kadar lima peratus bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang dikenakan ke atas keuntungan yang diperoleh daripada pelupusan hartanah selepas tempoh lima tahun pemilikan.

“Langkah ini dilihat mampu menggalakkan penaiktarafan rumah dan meningkatkan keyakinan pembeli hartanah,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya bagi menggalakkan sektor pembinaan, pihaknya berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif tambahan bagi mempromosikan penggunaan teknologi sistem pembinaan berindustri (IBS), khususnya untuk pembangunan perbandaran.

“Penggunaan teknologi IBS yang meluas membolehkan pemaju hartanah menyediakan unit perumahan berkualiti dalam tempoh lebih singkat.

“Ia juga dapat mengurangkan kos pembinaan serta kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang akan menjurus kepada penurunan harga rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:20 AM