KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Negeri Kelanatan sedang melakukan pemeriksaan premis makanan dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih yang diadakan di daerah Kuala Krai semalam. FOTO ihsan JKNK
KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Negeri Kelanatan sedang melakukan pemeriksaan premis makanan dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih yang diadakan di daerah Kuala Krai semalam. FOTO ihsan JKNK
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Empat kedai makan di Kuala Krai dekat sini, diarahkan tutup 14 hari berikutan keadaan premis yang tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih dijalankan pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan semalam, membabitkan 66 kakitangan.

Katanya, 64 premis diperiksa dan keutamaan membabitkan premis makanan di sekitar bandar Kuala Krai, kawasan peranginan Dabong, Jelawang, Kampung Laloh dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang kerana ia adalah lokasi tumpuan ramai.

"Susulan itu, 72 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Pada masa sama, 57 notis kompaun dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 32(1)(b) iaitu kegagalan pengendali makanan memakai pakaian pengendali makanan yang lengkap semasa mengendali makanan," katanya pada kenyataan hari ini.

Tambah Dr Zaini, pihaknya juga mengeluarkan pelbagai notis di bawah peraturan-peraturan lain.

Kata beliau, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

"Saya juga menasihati orang ramai supaya memilih premis makanan yang bersih.

"JKNK sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini serta komited dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa berada di tahap memuaskan," katanya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan isu keselamatan makanan, orang ramai boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah, pejabat kesihatan terdekat, layari http://jknkelantan.moh.gov.my/v3/ atau Facebook JKNK di https://www.facebook.com/HealthofKelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 1:08 PM