Dr Zaiton (tiga dari kiri) menunjukkan bahan kempen larangan merokok yang dijalankan UiTM. FOTO Ruwaida Md Zain
Dr Zaiton (tiga dari kiri) menunjukkan bahan kempen larangan merokok yang dijalankan UiTM. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain

CADANGAN memperluaskan kawasan larangan merokok sehingga ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selain sekolah swasta dan awam pada tahun ini sangat dinantikan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ia disifatkan impian yang bakal menjadi kenyataan bagi mereka memandangkan sejak tahun lalu UiTM aktif menggerakkan kempen larangan merokok di semua kampusnya menerusi kempen Pensijilan Blue Ribbon.

Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Dr Zaiton Nasir berkata, Pensijilan Blue Ribbon adalah satu bentuk pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kepada premis yang melaksanakan inisiatif bebas asap rokok.

“Kami mengambil cadangan itu sebagai pengumuman yang sangat positif dan kami warga UiTM sangat gembira jika ia dilaksanakan.

“Ini kerana kami sudah membuat pelbagai perancangan sejak tahun lalu untuk melaksanakan kempen bebas rokok di semua Kampus UiTM seluruh negara secara berperingkat-peringkat dalam perancangan kami untuk mendapat Pensijilan Blue Ribbon atau Kampus UiTM bebas asap rokok.

“Sehingga kini, empat kampus sudah mendapat pensijilan kampus bebas rokok iaitu UiTM Perlis, UiTM Kedah, UiTM Jasin, Melaka dan UiTM Jengka, Pahang,” katanya di Shah Alam semalam.

Dr Zaiton berkata, cadangan pelaksanaan larangan merokok di IPT oleh Kementerian Kesihatan itu memberikan semangat kepada pihaknya untuk terus menjalankan pelbagai program dan kempen berhenti merokok.

“Kami gembira sebab sebelum dicadangkan lagi, kita sudah bertindak dan ia bertujuan supaya semua warga UiTM mendapat udara bersih dan bebas asap rokok.

“Kita berharap pelaksanaan itu dijalankan secara menyeluruh di semua IPT dan secepat mungkin demi kebaikan bersama,” katanya.

Mengulas mengenai kempen itu katanya, mereka yang masih berdegil akan didenda menjalankan kerja khidmat masyarakat, contohnya menjalankan kempen berhenti merokok kepada warga UiTM selain dibawa ke Klinik Berhenti Merokok di bawah Pusat Kesihatan UiTM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 5:43 PM