WAK Doyok turut serta memandu.
WAK Doyok turut serta memandu.
Lizam Ridzuan


Selepas program Distinguished Gentleman's Ride (DGR) pada Mei lalu membabitkan motosikal, kini giliran program Distinguished Gentleman's Drive (DGD) diadakan yang menampilkan pelbagai kereta klasik.

Acara global ini juga diadakan di lebih 200 bandar seluruh dunia dengan peserta dan pemilik berpakaian gaya 'dapper' Ia diadakan untuk tujuan amal dan kebajikan.

Hampir 90 kereta klasik menyertai acara ini di Matic, Kuala Lumpur selama dua hari iaitu Sabtu dan pada pagi Ahad diadakan aktiviti pemanduan mengelilingi sekitar Kuala Lumpur melalui Jalan Ampang, Tun Razak, Sultan Ismail, P Ramlee dan kembali ke Matic, Kuala Lumpur.

Antara model yang turut serta ialah Alfa Romeo GTV 2000 1974, Toyota BJ40 (1976), Mercedes-Benz SL 200 (1978), Volkswagen Beetle (1974), Jaguar MK11 (1965), Mustang GT390 Fastback (1968) dan banyak lagi yang jarang dapat dilihat hadir pada acara ini.

Distinguished Gentleman's Drive dihoskan buat kali ketiga penganjurannya oleh Doplohtiga Group menerusi pengasasnya Ahmad Zaidi Masri berkata, selain pameran dan pemanduan kereta klasik turut diadakan di sekitar kawasan Matic acara flea market dengan tema Santai Klasik yang mana pengunjung yang datang digalakkan memakai pakaian yang berkonsepkan 50-an ke 70-an.

AHMAD Zaidi Masri bersama Mustang GT390 Fastback.
AHMAD Zaidi Masri bersama Mustang GT390 Fastback.

"Paling utama ialah tujuan program ini diadakan bagi mengumpulkan dana dan kami berjaya memperolehi sekitar RM10,000 daripada sumbangan atas talian dan pada hari acara diadakan.

"Acara ini juga mendapat sokongan Persatuan Kanser Nasional Malaysia (NCSM) yang turut mempromosi dan memberi kesedaran tentang kanser termasuk saringan kesihatan dan pelbagai aktiviti menarik dalam menyampaikan maklumat berkaitan," katanya.

Turut membuat penampilkan selebriti dan pempengaruh media sosial, Wak Doyok.

PELBAGAI kereta era sebelum 80-an.
PELBAGAI kereta era sebelum 80-an.

Aktiviti lain gerai jualan makanan dan minuman yang menambah kemeriahan acara dalam suasan santai yang disokong beberapa rakan niaga untuk penganjuran kali ini.

Turut disediakan gerai melukis batik serta permainan tradisional seperti baling selipar, batu seremban, congkak, dam ular serta manisan dan gula-gula secara percuma menambah karakter suasana retro.

Bagi menghargai pemilik diadakan anugerah seperti Best Gentleman of 2023, Best Lady of 2023 dan Best Classic Drive 2023.

PEMILIK kereta klasik sertai DGD 2023.
PEMILIK kereta klasik sertai DGD 2023.

Pada hari Sabtu sebelum itu turut diadakan Naked 13 Caferacer Rockers Meet Up selain pameran Kereta Klasik Akash, Persekutuan Motosikal Klasik Antarbangsa Malaysia (MICBF) serta Volkswagen.

Untuk rekod, DGD diasaskan pada 2021 dan edisi tahun ini berlangsung pada 24 September lalu.

Dana dikumpulkan Distinguished Gentlefolk yang menyokong usaha kebajikan untuk rakan amalnya, Movember yang dilaburkan dalam penyelidikan dan program penting untuk kanser prostat dan kesihatan mental lelaki yang menyokong kesejahteraan lelaki di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 7:00 AM