Vios serba baharu bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Vios serba baharu bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Lizam Ridzuan


Shah Alam: UMW Toyota Motor (UMWT) bakal melancarkan Toyota Vios serba baharu dengan reka bentuk terkini untuk ciri luaran dan kabin.

Ia dijangka ditawarkan pada anggaran harga antara RM90,000 dan RM96,000.

Presidennya Datuk Ravindran K berkata Toyota Vios serba baharu dipertingkatkan dengan prestasi yang lebih baik dan pecutan lebih pantas kini dibuka untuk tempahan mulai hari ini.

"Tempahan boleh dibuat di semua bilik pameran Toyota yang sah di seluruh negara dengan model kereta ini pastinya berkualiti tinggi pada harga kompetitif yang melebihi jangkaan pelanggan," katanya.

Mengguna pakai bahasa reka bentuk baharu, model Vios ini menampilkan rekaan lebih berkuasa dengan bayangan 'fastback'.

Ia tampil dengan ciri bonet lebih panjang, kabin lebih selesa serta dimensi lebih rendah bagi menyerlahkan ciri seakan sedan mewah.

Vios Serba Baharu generasi keempat ini didatangkan dengan enjin 1.5 liter DOHC Dwi-VVTI serta transmisi 7-kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic.

Ciri keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) juga diengkapi pada model ini menerusi penawaran dua varian 1.5 E (AT) dan 1.5 G (AT) serta lima pilihan warna termasuk warna baharu Spicy Scarlet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 8:13 PM