FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Suami isteri yang sedang khayal dadah diberkas polis selepas tersilap membancuh susu bayi mereka menggunakan cecair dadah syabu.

Kejadian yang hampir meragut bayi pasangan itu berlaku di flat didiami di Taman Medan, di sini, 19 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu diadukan pihak Hospital Kajang pada 20 Februari lalu.

"Difahamkan bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu dihantar suami isteri terbabit kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.

"Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal. Wanita itu kemudian bertanyakan punca tingkah laku pelik bayi itu kepada ibu mangsa.

"Ketika itu, ibu mangsa berusia 34 tahun mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya berusia 40 tahun," katanya.

Susulan itu beliau berkata, pihaknya menahan suami isteri terbabit di rumah mereka di Taman Medan pada 20 Februari lalu.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah.

"Semakan dilakukan juga mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang mempunyai rekod berkaitan kes dadah," katanya.

Shahrulnizam berkata, mangsa kini berada dalam pemantauan pihak Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:00 AM