MOHAMMAD Zakaria didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas, pada 30 Januari lalu. FOTO Bernama
MOHAMMAD Zakaria didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas, pada 30 Januari lalu. FOTO Bernama
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Sepang: Seorang lelaki yang dijadual melangsungkan perkahwinan minggu depan, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang warga emas, pada 30 Januari lalu.

Mohammad Zakaria Mohd Razali, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Mengikut pertuduhan Mohammad Zakaria yang juga seorang peniaga, didakwa menyebabkan cedera parah terhadap seorang warga emas berusia 73 tahun, di Jalan PP 2/5, Taman Putra Prima di sini, antara jam 9 dan 9.20 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi, memohon jaminan RM10,000 dikenakan bagi pertuduhan itu.

Peguam tertuduh, Fazilawati Hussin memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menanggung pengajian dua adik serta kos perubatan ibunya yang menghidap penyakit hati dan darah tinggi.

"Anak guam saya anak keenam daripada sembilan beradik. Ayahnya telah meninggal dunia 10 tahun lepas.

"Dia juga akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Februari ini di Kelantan, di mana beliau perlu berada di kampung secepat mungkin untuk membuat persiapan bagi majlis yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Hari ini tunangnya hadir untuk jamin," katanya.

Majistret Muhammad Bukhori menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan berkenaan dan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Pada 30 Januari lalu, tular di media sosial seorang warga emas yang juga pesara dipukul seorang lelaki tanpa sebab sambil mengeluarkan kata-kata kesat di Puchong Prima ketika mangsa dalam perjalanan dari Brickfields, Kuala Lumpur ke Putra Perdana untuk berjumpa kawan.

Mangsa kemudian dikatakan meneruskan perjalanan namun suspek mengekori keretanya dan apabila tiba di Putra Perdana, suspek menyekat kereta mangsa sebelum menarik warga emas itu keluar serta menumbuknya di bahagian mata selain menendangnya bertubi-tubi.

Warga emas itu kemudian ditinggalkan di lokasi itu sebelum ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak di kepala, lebam di bahagian mata kiri, patah tulang pipi kiri serta patah di bahagian bawah tulang mata kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 11:35 AM