Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar

Sungai Buloh: "Sampai sekarang saya rasa Zayn masih ada dan tak sangka berakhir macam ini malah saya agak sukar nak terima apa yang terjadi."

Begitu kata Ismanira Abdul Manaf, 28, ibu kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui meninggal dunia malam tadi di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.

Dia yang memakai baju jubah hitam turut tidak dapat menahan sebak dan mengalir air mata ketika bertemu media.

Ismanira berkata, dia sehingga kini masih tidak percaya anaknya itu sudah tiada dan agak sukar menerima perkara itu.

"Apa saya nak kata memang Zayn dah tiada (reda)...saya juga tidak boleh tidur sejak malam tadi.

"Saya tidak sangka ia berakhir macam ini dan saya juga tak boleh nak komen lebih kerana emosi masih tidak stabil," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Saya juga berharap polis menyiasat kejadian ini lebih lanjut lagi.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan Zayn," katanya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada polis, bomba dan penduduk yang membantu mencari anaknya sehingga ditemui.

ZAIM Ikhwan dan Ismanira, gambar fail. FOTO NSTP
ZAIM Ikhwan dan Ismanira, gambar fail. FOTO NSTP

Sementara itu, bapanya, Zaim Ikhwan Zahari, 28, berkata, sebaik selepas proses bedah siasat jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

"Kami bercadang untuk melakukan solat jenazah di Masjid Damansara Damai dan akan mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9 Kota Damansara.

"Saya difahamkan proses bedah siasat ini mengambil masa empat jam dan selepas itu jenazah anak akan dibawa ke masjid," katanya.

Terdahulu, Ismanira dilaporkan berkata, sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

"Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

"Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn menuruti saya dari belakang.

"Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada," katanya.

Mayat Zayn ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula jam 9 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 2:19 PM