Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Pencarian di kawasan anak sungai dekat Apartmen Idaman, Damansara Damai sudah dilakukan dua kali sebelum mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Majid berkata, selepas laporan polis diterima Selasa lalu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan pencarian di kawasan itu termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

"Memang kita sudah melakukan pencarian, tetapi kita tidak jumpa, ia tempat yang sama. Petang tadi (semalam) juga kita mencari di kawasan itu.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut disebabkan lokasi ditemui ini adalah kawasan aliran air," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Fakhrudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat.

"Siasatan masih berjalan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Polis ingin mengucapkan terima kasih kepada agensi yang terbabit iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat yang turut bersama membantu melakukan pencarian," katanya.

Terdahulu, Zayn Rayyan yang hilang sejak Selasa ditemui meninggal dunia di kawasan anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman kira-kira 10 malam.

Sebelum penemuan itu, polis menggerakkan operasi pencarian rumah ke rumah yang membabitkan 40 anggota bersama 60 penduduk setempat.

Operasi itu memeriksa 2,482 unit kediaman di 18 blok apartmen terbabit yang bermula 9 malam.

ANGGOTA polis mengangkat mayat Zayn Rayyan yang ditemui di kawasan anak sungai dekat Apartmen Idaman. FOTO Hafidzul Hilmi.
ANGGOTA polis mengangkat mayat Zayn Rayyan yang ditemui di kawasan anak sungai dekat Apartmen Idaman. FOTO Hafidzul Hilmi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:04 AM