HUBUNGAN ‘istimewa’ Washington dan Israel sudah terjalin sejak sekian lama.
HUBUNGAN ‘istimewa’ Washington dan Israel sudah terjalin sejak sekian lama.
Agensi

Washington: Fakta jelas menunjukkan Amerika Syarikat (AS) sudah banyak kali menggunakan kuasa vetonya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi Israel.

Al-Jazeera melaporkan, AS menggunakan kuasa vetonya sekurang-kurangnya 34 kali untuk menyekat draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengkritik rejim zionis itu.

Untuk rekod, draf resolusi di Majlis Keselamatan PBB memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi dan tiada veto oleh mana-mana lima ahli tetapnya iaitu AS, Perancis, United Kingdom, Rusia atau China, untuk diluluskan sebagai resolusi.

SEJARAH VETO AS MELINDUNGI ISRAEL

AS sering menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat sebarang resolusi di Majlis Keselamatan PBB yang mungkin mengkritik Israel atau menyeru kenegaraan Palestin.

Sejak 1945, sejumlah 36 draf resolusi dibawa ke Majlis Keselamatan PBB berkaitan Israel-Palestin. Ia diveto oleh salah satu daripada lima anggota tetap - AS, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis. Daripada jumlah ini, 34 diveto oleh AS dan masing-masing dua oleh Rusia dan China.

Majoriti resolusi ini digubal untuk menyediakan rangka kerja untuk keamanan dalam konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad. Ia termasuk meminta Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, menyeru penentuan nasib sendiri untuk kenegaraan Palestin, atau mengutuk Israel kerana pemindahan penduduk Palestin atau membina penempatan di wilayah Palestin yang diduduki.

Washington secara rasmi mengiktiraf kedaulatan Israel pada 2019 ke atas Bukit Golan.

RESOLUSI UTAMA BERHUBUNG ISU PALESTIN YANG DIVETO AS

Resolusi 18 Oktober 2023 yang menyeru jeda kemanusiaan dan supaya Israel membatalkan perintah pemindahannya ke utara Gaza, disekat oleh veto AS.

Selepas Great March of Return (pada 2018), Majlis Keselamatan PBB merangka resolusi yang mengutuk 'penggunaan mana-mana kekuatan yang berlebihan, tidak seimbang dan sewenang-wenangnya oleh tentera Israel terhadap orang awam Palestin' dan menyeru 'perdamaian menyeluruh yang berkekalan' dengan 'dua negara demokrasi, Israel dan Palestin'. AS menggunakan kuasa veto terhadap resolusi itu,.

Selepas AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 2017, draf resolusi menyatakan 'tindakan yang dikatakan mengubah watak, status atau komposisi demografi Kota Suci Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan undang-undang, adalah terbatal dan tidak sah'. Ia menuntut status Baitulmaqdis ditentukan selaras dengan peraturan PBB. Kesemua 15 ahli Majlis Keselamatan PBB menyokong kecuali AS, yang memvetonya.

Berikutan Intifada Kedua bermula pada 2000, resolusi Majlis Keselamatan PBB menyatakan 'kebimbangan besar terhadap kesinambungan peristiwa tragis dan ganas yang berlaku sejak September 2000', mengutuk serangan terhadap orang awam dan menyeru Israel 'untuk mematuhi dengan teliti kewajipan dan tanggungjawab undang-undang di bawah Konvensyen Geneva Keempat'. Sebanyak 12 negara mengundi menyokong, tetapi AS sekali lagi menggunakan kuasa vetonya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:31 AM