ANA bersama anaknya di HSA. FOTO Mary Victoria Dass
ANA bersama anaknya di HSA. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: "Mungkin sudah lama tidak menjamah makanan sedap, anak meminta kami membelikan ayam goreng dan ais krim," kata ibu kepada mangsa dera yang dibiarkan kebuluran, M Ana, 34.

Ana berkata, keadaan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu beransur pulih, kini lebih berselera untuk makan dan kelihatan lebih bertenaga.

Malah, menurutnya, anaknya itu juga menyatakan keinginannya untuk bertemu dengan ahli keluarga lain kerana merindui mereka.

"Walaupun pada awalnya kelihatan banyak termenung, kini dia (anak) mula berbual dan selera makannya bertambah baik.

"Dia mahu makan (hidangan) KFC selain ais krim kerana sudah lama tidak memakan makanan kegemarannya itu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ana berkata, dia yakin keadaan anaknya mampu berubah sekiranya diberi lebih perhatian dan kasih sayang.

"Dia yang berisi sebelum ini disenangi ramai termasuk jiran Melayu kerana mudah mesra dan gemar menyanyi dan menari.

"Saya berdoa keadaannya pulih sepenuhnya dan dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain," katanya yang menambah anaknya itu menyatakan mahu menjadi askar pada masa depan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kanak-kanak menjadi mangsa dera ditemukan tidak bermaya, dibiarkan berbogel dan dikurung dalam tandas rumah keluarganya di Pulai, di sini, 13 Oktober lalu.

Kanak-kanak itu diselamatkan hasil laporan polis dilakukan seorang jiran yang mendakwa kanak-kanak itu dikurung di tandas.

Kini kanak-kanak itu yang kelihatan kurang bernutrisi masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah IPD Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, tempoh reman lelaki berusia 37 tahun dan teman wanitanya berusia 39 tahun bagi membantu siasatan kes penderaan dilanjut sehingga 22 Oktober ini.

"Reman dilanjutkan sehingga 22 Oktober depan (Ahad)," katanya ketika dihubungi.

Pasangan kekasih itu ditahan polis susulan laporan polis yang diterima pada 4.13 petang, 13 Oktober lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 6:41 PM