Ridzuan Abdul Rahman


KETIKA pengumuman mengenai Konsert Slam Nurkasih dibuat, ramai peminat menyangkakan ia sempena ulang tahun ke-30 kumpulan terbabit dan dihasilkan dalam konsep Unplugged.

Bagaimanapun, Zamani, Shah, Eddie, Lili dan Man berkata, perkara ini tidak menjadi kenyataan dan berharap peminat menerima penjelasan mereka.

"Walaupun Slam dah 30 tahun, tapi untuk kali ini kami tak pakai tema itu sebab perancangan terbabit hanya digunakan untuk tahun depan.

"Bukan bermaksud Konsert Nurkasih berskala kecil, tapi untuk yang itu ia akan dibuat dalam fasa lebih besar," kata Shah selaku ketua kumpulan.

Zamani sebagai vokalis berkata, Slam sebenarnya baru berusia 29 tahun dan hanya pada tahun depan genap 30 tahun.

"Insya-Allah tahun depan akan ada konsert lagi. Saya boleh beritahu akan ada satu konsert yang lagi besar. Jadi, Konsert Nurkasih bertujuan untuk dapatkan momentum sementara menunggu tahun depan.

"Sementara konsert ini tiada kena-mengena dengan yang lain. Konsepnya lain, pendekatan dan tajuk pun lain," katanya.

Kumpulan yang popular menerusi lagu genre cinta ini mengakui gembira dengan perkembangan industri hiburan yang bertambah rancak ketika ini.

"Ia sesuatu yang bagus apabila banyak konsert hiburan dianjurkan. Peminat muzik sanggup belanjakan wang untuk beli tiket tak kira artis lama atau baharu.

"Janji artis yang mereka minat buat konsert, mereka beli tiket. Tujuan mereka untuk sokong artis. Tiada persaingan dalam industri kerana masing-masing cari rezeki. Lagipun ia tambah memeriahkan industri seni.

MERANCANG mengadakan konsert lebih besar sempena Ulang Tahun Ke-30 mereka tahun depan.
MERANCANG mengadakan konsert lebih besar sempena Ulang Tahun Ke-30 mereka tahun depan.

"Tak kira sesiapa pun kerana kami nak lihat semua artis aktif. Slam pun kali terakhir buat konsert pada 2021. Syukur sekarang semakin lama semakin banyak 'show'," katanya.

Menyentuh berkenaan keharmonian dan perpaduan Slam, mereka berkata, ia berpaksikan kepada minat yang sama iaitu dalam muzik.

"Walaupun ada masalah, ia bukan babitkan isu peribadi pun. Tapi, lebih kepada kontrak dan album. Untuk kami bersepakat, caranya berkumpul dengan muzik.

"Kami buat konsert dan sambutan bagus, itu yang buat kami terus bersama walaupun ada masalah sikit-sikit. Atas nama Slam kita tetap buat konsert. Insya-Allah kami tak pernah terfikir untuk ada dua atau tiga Slam," kata Shah.

Menurutnya, pembabitan sebagai pemuzik bebas tidak menjejaskan komitmen dengan Slam.

"Saya tak main lagu Slam. Benda itu kepakaran saya di tempat lain. Bila dengan Slam kepakaran lain pula. Tapi, dua-dua saya 'enjoy' dengan muzik.

"Keutamaan saya kepada Slam. Saya akan susun jadual dengan baik. Dengan Slam pun bukan buat konsert setiap bulan. Kami pun tak boleh buat 'show' kecil-kecil dan lebih fokus pada konsert," katanya.

ZAMANI berharap dirinya sihat ketika konsert.
ZAMANI berharap dirinya sihat ketika konsert.

Bagi Zamani pula, dia mengehadkan lagu Slam sekiranya beraksi secara solo.

"Memang ada saya menyanyi lagu Slam, tapi terhad dan selektif. Bila dengan Slam saya 'all out' semua lagu yang ada. Banyak yang saya simpan sebagai prioriti untuk Slam. Kalau Slam ada 'show' memang ia keutamaan," katanya.

Bercakap mengenai penggunaan teknologi terkini ketika konsert mereka, Shah berkata, ia terserah kepada peruntukan penganjur.

"Ia memang membantu, selain orang datang nak tengok 'show'. Semua orang tahu Zamani boleh menyanyi. Tapi, 'show' juga membabitkan telinga dan mata. Visual lebih penting," kata Shah.

Slam juga baharu selesai menjayakan konsert di Singapura pada 10 Jun lalu. Zamani berdepan ujian apabila mengalami sakit tekak ketika persembahan.

"Saya tak berani nak cakap fasal kesihatan untuk Konsert Nurkasih. Ketika berlatih semua okey. Apa pun saya cuba tunjukkan kami tetap berusaha.

"Apabila saya tak boleh, baru mengalah. Kejadian di Singapura berlaku pada sesi ketiga. Pada awal sampai Singapura saya dah sakit.

"Orang dah beli tiket. Jadi, saya kena teruskan dan tak boleh pentingkan diri," kata Zamani.

Konsert Slam Nurkasih dibawakan oleh AVG & WMD manakala Belbis sebagai rakan produksi bersama rakan strategik Mewah Event Management (MEM).

Ia berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 6 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 6:00 AM