IBU mangsa, Noriah Awang menunjukkan gambar arwah anaknya, Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad yang meninggal dunia hari ini selepas dua hari dirawat akibat dipatuk ular tedung. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
IBU mangsa, Noriah Awang menunjukkan gambar arwah anaknya, Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad yang meninggal dunia hari ini selepas dua hari dirawat akibat dipatuk ular tedung. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


Bachok: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu meninggal dunia, selepas dua hari dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini selepas dipatuk ular tedung, Ahad lalu.

Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, anggota berkenaan, Mohd Idris Abdul Samad, 34, disahkan meninggal dunia pada 9.30 pagi, hari ini.

Katanya, kejadian berlaku pagi kelmarin, ketika anggota yang bertugas di APM Tunjong itu sedang memindahkan ular tedung dari guni ke dalam sangkar.

"Ular berkenaan ditangkap di sebuah kampung di Kota Bharu malam Sabtu lalu dan pada keesokan hari, arwah mahu mengalihkan haiwan berbisa itu ke dalam sangkar.

"Bagaimanapun, berlaku insiden di luar jangka apabila celah ibu jari kanan arwah dipatuk.

"Arwah memakai sarung tangan ketika mengendalikan haiwan berbisa itu sebagai perlindungan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemasin, di sini, hari ini.

Mohd Adzhar berkata, selepas kejadian itu, arwah berkeadaan seperti biasa namun bimbang bisa ular berkenaan, arwah segera dibawa ke HUSM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Sepanjang dua hari dirawat arwah berada dalam keadaan stabil sehingga awal pagi tadi saya menerima panggilan telefon daripada pihak hospital memaklumkan keadaan kesihatan arwah tiba-tiba merosot," katanya.

Katanya, sepanjang 15 tahun berkhidmat sebagai anggota APM, ini adalah kali kedua arwah dipatuk ular selepas kejadian sama beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan jari tengah tangan kanannya terpaksa dipotong.

"Arwah adalah seorang yang terlatih dalam mengendalikan haiwan berbisa selain pernah mengikuti beberapa kursus dalam pengendalian reptilia itu.

"Arwah juga seorang sangat komited dengan kerja dilakukannya walaupun ada kalanya berdepan dengan bahaya yang boleh merisikokan nyawanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 4:05 PM