JENAZAH Mohammad Nasri akan dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Mertajam Penaga. FOTO Facebook Reezal Merican Naina Merican
JENAZAH Mohammad Nasri akan dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Mertajam Penaga. FOTO Facebook Reezal Merican Naina Merican
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Jenazah anggota tentera yang hilang di Hutan Simpan Belum di Gerik, Perak, Jumaat lalu akan dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Mertajam, Penaga, di sini.

Berita itu dikongsikan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran yang dibuat di laman media sosial Facebook (FB) miliknya hari ini.

Menurut Reezal Merican, Allahyarham Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib adalah anak kepada Ketua Wanita UMNO Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar.

"Urusan membawa pulang jenazah sedang diuruskan pihak tentera sebelum jenazah dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Mertajam Penaga.

"Takziah diucapkan kepada Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman," katanya.

Difahamkan, Mohammad Nasri adalah satu-satunya anak Fadzilah, yang mana Allahyarham sudah berumahtangga dan menetap di Bentong, Pahang.

Jumaat lalu, Mohammad Nasri dilaporkan hilang di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Perak ketika menjalankan tugas operasi.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan anggota tentera berusia 33 tahun itu dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, kejadian kehilangan berlaku pada jam 5 petang semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 4:12 PM