Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyiasat dakwaan penjualan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri oleh ejen atau orang tengah.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku sama sekali dan satu siasatan perlu dilakukan.

"Mana boleh (individu kaut keuntungan). Anda WhatsApp (laporan) kepada saya. Saya akan meminta PBT untuk semak," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas pendedahan Harian Metro mengenai adanya individu atau ejen bergelar 'Ayahanda' yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan menjual tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Individu berkenaan membolot tapak bazar Ramadan dan tapak bazar Aidilfitri yang diuruskan PBT di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dan dijual kepada pihak ketiga dengan harga tinggi.

Antara lokasi tapak bazar yang popular ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, bazar Ramadan Kelana Jaya, bazar Ramadan Sentosa dan beberapa lokasi strategik lain.

Mengulas dakwaan sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor Ng Sze Han menegaskan tindakan 'sewa atas sewa' tapak bazar tidak dibenarkan sama sekali.

"Apatah lagi sewaan membabitkan jumlah keuntungan atas angin yang melampau.

"Tindakan begini akan menganiaya penjaja yang betul-betul memerlukan tapak untuk berniaga dan kos makanan juga akan meningkat tanpa sebab yang munasabah," katanya.

Beliau turut menggesa peniaga membuat laporan kepada PBT berkaitan jika berhadapan situasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 6:30 AM