KHAIRI  (dua dari kanan) ketika pemeriksaan situasi bekalan dan harga telur ayam  di Pasaraya NSK, Jalan Selayang Baru. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
KHAIRI (dua dari kanan) ketika pemeriksaan situasi bekalan dan harga telur ayam di Pasaraya NSK, Jalan Selayang Baru. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Lambakan bekalan telur premium di pasaran ketika ini berbanding telur gred biasa adalah disebabkan telur jenis itu tidak mendapat permintaan utama pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata, bekalan telur negeri itu meliputi pelbagai gred seperti A, B, dan C termasuk jenis premium yang mempunyai nilai tambah.

Menurutnya, bekalan telur gred A, B dan C yang juga item di bawah penentuan harga maksimum atau kawalan harga memerlukan pemantauan rapi dari KPDNKSH.

"Ini kerana permintaan telur spesifikasi itu mendapat perhatian dan permintaan tinggi dari pengguna.

"Berbeza dengan permintaan bekalan telur gred yang tidak dikawal (ada nilai tambah) yang tidak mendapat permintaan utama pengguna," katanya.

Telur kayangan mahal sangat nak beli!

Lambakan telur ayam 'kayangan' atau telur ayam omega di sekitar Selangor dan ibu kota tidak membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan telur di pasaran kerana harganya lebih mahal berbanding telur gred biasa.

Tinjauan Harian Metro di beberapa premis dan pasar raya mendapati bekalan telur ayam omega masih banyak di rak jualan manakala telur biasa sudah kehabisan bekalan terutama selepas jam 11 pagi.

Difahamkan, orang ramai terutama golongan B40 lebih memilih telur biasa kerana harganya lebih murah berbanding telur ayam omega.

Harga sepapan atau 30 biji telur ayam untuk gred A, B , C dan D bermula antara RM18 hingga RM12, manakala telur ayam omega antara RM7.99 sehingga RM9.50 mengikut saiz untuk 10 biji di beberapa premis.

Pembantu kedai di Selayang yang hanya mahu dikenali sebagai Yana, 42, berkata, hidangan telur ayam dianggap lauk harian keluarganya terutama untuk berjimat pada tengah bulan.

Menurutnya, biarpun bekalan telur ayam omega masih banyak di pasaran, namun dia memilih untuk tidak membelinya kerana harga telur itu baginya sangat mahal berbanding telur biasa.

"Masalah bekalan telur sudah berlaku sejak dua hingga tiga bulan lalu dan bulan ini lebih sukar nak dapatkan bekalan itu yang banyak dijual telur ayam omega.

"Kalau telur biasa gred C saya boleh dapat 30 biji pada harga RM13 tetapi telur ayam omega satu pek hanya ada 10 biji sudah hampir RM10 memang membuatkan saya tidak mampu," katanya.

Yana berkata, dia berharap kerajaan dapat mencari mekanisme baharu untuk bekalan telur ayam kerana ia adalah keperluan penting.

"Bila bekalan tiada memang susah terutama untuk golongan kurang berkemampuan tetapi saya kalau tiada bekalan telur memang tidak akan beli telur ayam omega walaupun hanya tinggal telur itu saja di pasaran," katanya.

Kakitangan swasta, Azrin, 35, berkata, dia baharu membeli telur ayam gred C, baru-baru ini di ibu kota berharga RM15 sepapan.

"Ketika saya pergi pasar raya itu tiada telur gred A dan B, hanya ada gred C saja itu pun sudah tak banyak tinggal dalam 10 papan saja. Tapi saya lihat telur ayam omega masih banyak di rak.

"Harga satu pek telur omega RM9.50 dan bagi saya tak berbaloi untuk saya beli kerana mahal sangat harganya.

"Biasanya selepas jam 11 pagi telur memang sudah habis sebab saya pernah datang pasar raya jam 10 pagi telur banyak lagi, tetapi kenalan pergi selepas itu telur sudah habis," katanya.

Peniaga kedai makan, Mohd Luas Abdul Rahman, 46, berkata, dia yang tinggal di Jinjang terpaksa mencari bekalan telur di Selayang kerana premis di tempatnya sudah kehabisan bekalan telur.

Katanya, dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat papan telur sehari dan kini tiada bekalan telur sejak seminggu lalu.

"Saya pernah beli telur ayam omega sebab tiada telur ayam biasa, tetapi tak sanggup nak beli lagi untuk berniaga sebab mahal sangat dan tidak berbaloi.

"Untuk kegunaan di rumah juga saya pakai telur biasa juga. Kalau di pasaran saya dah tak kisah gred apa beli saja kalau ada kecuali telur ayam omega tetapi sekarang telur memang tak ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 12:00 PM