Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Seekor kambing jantan ditawar untuk dibeli seorang individu pada harga RM13,000 kerana keunikannya yang mempunyai kantung susu.

Pemiliknya, Mohd Aidil Azreen Alias, 30, dari Kampung Tok Dir di sini, berkata, kambing yang diberi nama Pak Tam ditawarkan pada harga yang tinggi kerana keunikannya mampu mengeluarkan susu seperti kambing betina.

Menurutnya, pada mulanya dia sendiri tidak tahu kantung di perut kambing itu kantung susu.

Katanya, dia kemudian meminta pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membuangnya kerana menyangkakan ia ketumbuhan.

"Namun pegawai agensi itu memaklumkan kantung terbabit kantung susu dan bukannya ketumbuhan.

"Jadi Pak Tam ini amat unik kerana bukan semua kambing jantan mempunyai kantung susu," katanya.

Menurutnya, Pak Tam antara ternakan dimilikinya ketika ini selepas memulakan penternakan dengan bermodalkan RM6,000 ketika mula menternak seekor lembu baka Charolais kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, sebelum berkecimpung dalam dunia ternakan dia hanya melakukan kerja membawa lori dan jentera.

Menurutnya, melihat kepada prospek penternak yang jauh lebih menguntungkan dia mengambil langkah drastik menceburi bidang berkenaan bersama dua lagi adiknya.

"Bermula dengan lembu sado dibeli dengan harga RM6,000 dan beberapa bulan kemudian saya membuat pelaburan membeli dua lagi lembu bernilai RM17,000 sebagai permulaan.

"Memandangkan harga dedak lembu semakin meningkat, saya mengambil keputusan menjual 20 ekor lembu baka Charolais dan menternak kambing baka Jamlo secara serius sejak bulan April lalu," katanya.

Menurutnya, dua adiknya, Muhammad Amirul Ashraf, 28 dan Muhammad Aliff Aizan, 22, merupakan tulang belakang baginya dalam pelbagai urusan berkaitan ternakan yang diusahakan.

Katanya, hingga kini dia mempunyai 27 ekor kambing baka Jamlo dianggarkan bernilai RM150,000, tujuh ekor lembu baka Charolais dan 25 kerbau.

Mohd Aidil berkata, tiga ekor induk jantan ditawar harga bernilai RM35,000, manakala anak kambing baka itu yang berusia dua bulan pula paling rendah dijual dengan harga RM3,000 seekor dan yang berusia tiga bulan pula boleh mencecah hingga RM7,000 seekor.

Menurutnya, harga seekor kambing baka sebenarnya bergantung kepada spesifikasi kambing itu sendiri yang membuatkan nilainya menjadi tinggi.

Katanya, kos menternak kambing tidak tinggi seperti lembu kerana bagi keseluruhan kambing diternaknya kini memerlukan kos dedak sebanyak RM900 sahaja.

"Saya turut menyediakan rumput, daun mahang, balik angin dan sisik puyu sebagai makanan tambahan kambing diternak," katanya.

MOHD Aidil memegang kantung susu seekor kambing jantan miliknya. FOTO Nazdy Harun
MOHD Aidil memegang kantung susu seekor kambing jantan miliknya. FOTO Nazdy Harun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:05 AM