ROZALIA menunjukkan lokasi kedudukan mayat Sadiah ditemukan. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
ROZALIA menunjukkan lokasi kedudukan mayat Sadiah ditemukan. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: "Saya sempat dengar nenek beberapa kali menjerit meminta tolong selepas gagal membuka pintu utama, sebelum suaranya perlahan-lahan lenyap dalam kepulan asap dan api yang marak," luah Rozalia Aida Fitria Burhanuddin, 32.

Rozalia adalah cucu dan anak saudara kepada warga emas, Sadiah Jabar, 80, dan Kamisah Mapiasah, 49, yang rentung dalam kebakaran di Kampung Titingan Blok 3, dekat sini, tengah malam tadi.

Katanya, dia masih sukar menerima hakikat kehilangan insan paling rapat dalam hidupnya selain perasaan sedih dan terkilan kerana tidak mampu menyelematkan nyawa kedua-dua mereka.

"Ketika itu, api sangat marak dengan hampir keseluruhan rumah sudah terbakar termasuk tangga yang menghubungkan pintu utama tempat nenek menjerit meminta tolong.

"Saya beberapa kali cuba masuk tetapi api sudah marak dan tangga juga sudah runtuh, malah bapa saudara Irwan Mapiasah, turut melecur di bahu ketika cuba meredah api untuk menyelamatkan nenek," katanya ketika ditemui di sini, pagi ini.

Tambah Rozalia lagi, ketika kejadian, abang sulung dan seorang lagi ibu saudara, yang turut berada bahagian dapur dan tandas di tingkat bawah rumah terbabit, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Katanya, neneknya ditemukan rentung dalam keadaan tertiarap di hadapan pintu utama, manakala rangka ibu saudaranya pula ditemukan di dalam salah satu bilik sejurus operasi memadam kebakaran pasukan bomba selesai.

"Saya hanya mampu menitiskan air mata apabila menyaksikan jasad kedua-dua mereka diangkat oleh anggota bomba sebelum dibawa ke hospital.

"Bagaimanapun, kami dan ahli keluarga yang lain reda dengan kejadian ini dan menganggap ia adalah takdir dan ketentuan Ilahi," katanya sambil menambah jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3, selepas urusan tuntutan mayat selesai.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi, tiga buah rumah musnah sepenuhnya, sementara dua lagi masing-masing terbakar 40 peratus dan 60 peratus.

Berita berkaitan

Dua beranak rentung [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 10:29 AM