Zaara Talita


MEMULAKAN kerjaya dalam bidang lakonan sejak sedekad lalu, aktres Amyra Rosli cukup sinonim dengan watak berendam air mata dan teraniaya.

Jelas pemilik nama penuh Nur Amira Izzati Rosli, dia mengakui tidak dapat lari daripada bayangan watak sarat emosi dalam kebanyakan naskhah lakonannya.

Amyra, 30, berkata, biarpun dilihat kerap menjayakan watak tipikal, namun secara peribadi, dia langsung tidak kisah jika terus menerus diberi peranan memegang karakter sebegitu.

"Saya tidak ralat biarpun dilihat sinonim dengan watak-watak sarat emosi dan sering berendam air mata. Saya anggap tawaran itu sebagai kepercayaan daripada pengarah dan penerbit sendiri.

"Teringin juga hendak membawakan karakter antagonis atau perampas dan sebagainya, cuma ada ke yang ingin memberikan watak sebegitu kepada saya?

"Mana-mana pun saya terima, asalkan bertepatan dengan status saya sebagai ibu kepada dua cahaya mata dan isteri orang," kata Amyra yang kini menjadi perhatian di media sosial menerusi drama lakonannya, Jangan Menangis Cinta. Naskah itu menampilkan Amyra dan Remy Ishak selaku teraju utama.

"Keperibadian yang ditunjukkan Riyana pada awal jalan cerita memang lembut. Tetapi dia kemudian berubah menjadi keras hati disebabkan lelaki. Dalam cerita ini, saya banyak menangis.

"Cuma apa yang menarik, drama ini sebenarnya menayangkan konflik sebenar yang berlaku dalam kehidupan suami isteri di luar sana.

"Malah, banyak yang saya belajar dengan menjayakan watak Riyana iaitu ibu kepada anak 'istimewa'.

Sebelum ini saya hanya membaca atau mendengar kisah orang lain, namun watak ini mengajar saya banyak benda.

"Secara tidak langsung, dapat memberikan pendedahan kepada ibu bapa di luar sana. Bagi saya, setiap karakter atau watak memberikan pengajaran tersendiri," katanya.

PASANGAN selebriti itu kini lebih peka dengan penyakit yang dialami anak mereka.
PASANGAN selebriti itu kini lebih peka dengan penyakit yang dialami anak mereka.

Beralih ke perkembangan peribadi, Amyra dan suaminya, Amar Baharin lebih peka selepas anak kedua, Ayra Aryssa pula diuji penyakit Kawasaki, April lalu.

Pelakon drama Sang Pewaris itu turut meluahkan rasa berat hati untuk bekerja memandangkan anaknya yang berusia dua tahun ketika itu sedang menerima rawatan.

Kongsi Amyra, dia melalui episod sangat getir apabila dirinya dan anak diuji dengan pelbagai virus, apatah lagi ketika sedang sibuk menjayakan penggambaran drama.

"Namun, Alhamdulillah biarpun diuji, Allah tetap memberikan saya ketenangan. Jika saya yang dahulu, sudah tentu banyak menangis. Namun, sepanjang tempoh ujian, air mata sukar untuk keluar," katanya.

BIARPUN diuji dengan dugaan bertubi-tubi, Amyra bersyukur diberikan ketenangan oleh Allah SWT.
BIARPUN diuji dengan dugaan bertubi-tubi, Amyra bersyukur diberikan ketenangan oleh Allah SWT.

Terdahulu, anak kedua Amyra dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara sejak selepas mengalami demam panas dengan suhu badan tinggi.

Gejala penyakit berkenaan bermula dengan ruam yang timbul dengan kesan tompokan merah di keseluruhan badan anaknya termasuk pada bahagian telinga.

Penyakit Kawasaki atau dikenali sebagai sindrom nodus limfa adalah keradangan saluran darah (vaskulitis) yang membabitkan kanak-kanak terutama bawah umur lima tahun.

Selain Aryssa, pasangan selebriti yang mendirikan rumah tangga pada 2016 turut diserikan kehadiran putera, Aqeef Anaqi Amar, empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 6:00 AM