HARIMAU di Zoo Kyiv. FOTO EPA
HARIMAU di Zoo Kyiv. FOTO EPA
Agensi

Kyiv: Haiwan pun tertekan dengan situasi perang. Itu yang berlaku dengan haiwan di zoo di Kyiv yang mula terjejas akibat perang dengan Rusia itu.

Haiwan di Zoo Kyiv semakin menunjukkan tanda tekanan di tengah-tengah konflik berterusan, lapor International Business Times yang memetik Washington Post.

Kira-kira 4,000 haiwan ditempatkan di zoo bersebelahan dengan penempatan ketenteraan utama dan mungkin berada di laluan Rusia ke ibu negara.

Beberapa haiwan itu dilaporkan ketakutan akibat siren serangan udara dan letupan, sepanjang hari.

Kuda belang dipindahkan selepas panik dengan bunyi tembakan dan berlari terus ke dalam pagar, manakala seekor lemur baru lahir turut dijaga selepas ditinggalkan ibunya, yang mungkin disebabkan oleh tekanan.

Bagaimanapun, haiwan besar seperti gajah atau zirafah tidak boleh dialihkan ke ruangan bawah tanah.

"Ia tidak mempunyai ruang untuk bersembunyi atau lari.

"Apabila haiwan keluar dari zoo, ia mempunyai lebih sedikit pilihan daripada manusia. Ia akan menjadi jalanan dengan kereta kebal," kata pengarah zoo, Kyrylo Trantin.

BERUANG bernama Aska dan Popeye, antara binatang dari Zoo Kyiv yang dipindahkan ke Lyiv. FOTO Reuters
BERUANG bernama Aska dan Popeye, antara binatang dari Zoo Kyiv yang dipindahkan ke Lyiv. FOTO Reuters

Antara haiwan bersaiz besar di zoo ini adalah gajah Asia bernama Horace. Ia terdedah kepada bunyi kuat.

Letupan menyebabkan seorang kakitangan berpindah ke kandang gajah berusia 17 tahun itu.

Ini supaya kakitangan boleh tidur di sebelahnya dan menenangkan haiwan itu.

"Jika roket atau peluru mendarat, mereka tahu bagaimana untuk menenangkan (haiwan)," kata Trantin mengenai rakan sekerjanya.

Kira-kira 50 kakitangan zoo berpindah ke kemudahan itu untuk menjaga haiwan sepanjang masa dan mereka membawa bersama-sama 30 ahli keluarga.

Mereka dilaporkan berlindung semasa siren serangan udara di tempat perlindungan sementara di zoo itu, seperti di dalam kandang burung dan akuarium belum siap.

Zoo Kyiv berharap tidak menerima nasib sama seperti Feldman Ecopark di bandar timur Kharkiv, yang kehilangan beberapa haiwannya akibat pertempuran di sekitar kawasan itu.

Memandangkan proses memindahkan haiwan besar sukar, Trantin sudah bersedia kemungkinan pencerobohan Rusia, seminggu sebelum ia bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:30 AM