MOHD Johari bersama penduduk Kampung Zayyid Nahyan yang kehilangan kaki akibat perang berpanjangan di Afghanistan.
MOHD Johari bersama penduduk Kampung Zayyid Nahyan yang kehilangan kaki akibat perang berpanjangan di Afghanistan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kabul: Perkampungan dipenuhi penduduk 'satu kaki' dan 'tangan plastik.' Itu antara keadaan menyayat hati ketika penulis melawat perkampungan diasaskan pemimpin Afghanistan, Sheikh Zahid di pinggir bandar Kabul di sini, semalam.

Difahamkan kampung itu dibina khusus pernah menempatkan 300 mangsa perang yang kudung kaki, lumpuh atau kehilangan tangan akibat peperangan.

Kebanyakan mangsa dalam kalangan orang awam dan tentera menjadi orang kurang upaya (OKU) akibat letupan roket, jerangkap samar serta serangan tentera asing sepanjang tempoh empat dekad menjajah Afghanistan.

Ketua kampung berkenaan, Haji Gulam Jailani Shirzad, 60, berkata, penempatan diberi nama Kampung Zayyid Nahyan menempatkan 300 pejuang Afghanistan yang cacat akibat serangan tentera Russia dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, perkampungan itu membabitkan 235 rumah dan dihuni 365 penduduk dalam kalangan orang miskin serta daif.

"Sebelum ini terdapat 300 mangsa perang menghuni perkampungan ini namun jumlahnya berkurangan kepada 140 orang selepas kebanyakannya meninggal dunia atau berpindah ke kawasan lain.

"Mereka ini golongan miskin dan terpaksa bergantung harap kepada bantuan kerajaan sebelum ini.

"Kebanyakan mereka memerlukan kaki dan tangan palsu. Malangnya keperluan itu sukar diperoleh menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa bergantung kepada tongkat untuk bergerak," katanya.

Sementara itu, bekas tentera Afganistan, Hamdan Umar berkata, kaki kanannya putus selepas terbabit dalam serangan di selatan Kabul.

Menurut Hamdan, letupan roket yang disasarkan ke arah kem tentera menyebabkan ramai rakannya maut manakala kaki kanannya hancur dan terpaksa dipotong hingga paras paha.

Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan dan Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkesempatan melawat kampung itu semalam sebelum menyampaikan sumbangan kepada penduduk cacat.

Zulkifli meluahkan rasa sedih terhadap nasib menimpa rata-rata penghuni kampung itu yang hidup dalam persekitaran daif selain keadaan rumah sempit dihuni lebih dari lima individu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 7:00 AM