Kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, 3 dan 4. FOTO ARKIB NSTP
Kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, 3 dan 4. FOTO ARKIB NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan beberapa lagi kelonggaran bagi sektor latihan dan sosial untuk negeri Fasa 2 hingga 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik membuat keputusan kelonggaran baharu bagi majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian serta bengkel.

"Kelonggaran itu diberikan kepada negeri Fasa 2 dan Fasa 3 dengan syarat tetamu menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi Fasa 4.

"Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani 'pre-event test' menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selaras pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) yang berkuat kuasa 15 Oktober depan, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut memutuskan pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET serta sebagainya di semua fasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, kerajaan juga membenarkan kehadiran penonton ke perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, 3 dan Fasa 4.

"Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat penonton atau penyokong menerima vaksinasi lengkap.

"Mereka juga perlu memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

"Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang keluar daripada kediaman biarpun sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Katanya, individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas kerana sikap tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat dan menjejaskan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.

"Walaupun kerajaan memberi kelonggaran, namun saya berharap rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

"Negara kini sedang menuju ke fasa endemik yang mana kita akan terus hidup bersama Covid-19 dalam kehidupan norma baharu.

"Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:34 PM