GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Jasin: Angkara berebutkan anak, seorang lelaki maut ditikam bekas adik iparnya pada pagi Aidilfitri, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dalam kejadian 7.30 pagi hari ini, di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, mangsa berusia 36 tahun itu maut ditikam selepas berlaku pertengkaran dan pergelutan dengan suspek.

Beliau berkata, suspek lelaki yang berusia 32 tahun datang ke rumah mangsa yang turut didiami bekas isterinya iaitu adik mangsa dalam keadaan marah.

"Suspek sudah bercerai dengan bekas isterinya pada Januari lalu dan datang ke rumah mangsa kerana hendak mengambil kedua-dua anaknya, mungkin untuk beraya bersama.

"Namun, berlaku pertengkaran dan mangsa cuba menenangkan suspek, bagaimanapun berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam di rusuk kanannya dengan pisau yang dibawa suspek," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Sukri berkata, kedua-dua anak perempuan mangsa berusia lapan dan 10 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana bersembunyi bersama ibu mereka di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Beliau berkata, ketika kejadian juga, beberapa ahli keluarga mangsa yang berada di dalam rumah itu turut melarikan diri.

"Kita sahkan kejadian berpunca daripada perebutan anak. Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

"Pihak polis kini menjalankan gerakan mengesan suspek yang berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Melaka dan disahkan meninggal dunia.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 1:40 PM