Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petaling Jaya: Seramai 14 individu termasuk lima warga China didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat di hadapan Hakim Jamaluddin Mat, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, 13 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Nicky' di Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada 1 Januari 2017 dan 20 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada Lee Hon Keat, Lee Kam Onn, Lee Kum Wong, Liow Wei Kin, Liow Wei Loon, Eee Eng Chee, Jovian Joris Tan Chern Chian, Loo Siow Chin, Lim Kang Li, Lei Huang, Gu Xing Qiong, Yujun Wang dan Jiang Xua.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Manakala, tertuduh lain Lim King Ming, 55, didakwa membantu kumpulan itu di lokasi sama pada 1 Januari 2017 dan 29 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 130W kanun sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun.

Mahkamah kemudian turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan seorang wanita warga China Niu Zhe dipercayai isterinya untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Baharin Omar, manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Anggota Geng NICKY dibawa anggota polis meninggalkan mahkamah selepas dituduh di bawah SOSMA di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Anggota Geng NICKY dibawa anggota polis meninggalkan mahkamah selepas dituduh di bawah SOSMA di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Pertuduhan terhadap Nicky dan wanita berkenaan sudah difailkan dan akan dibacakan sejurus mereka ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah.

Terdahulu, kesemua tertuduh berusia 28 hingga 55 tahun itu dikawal ketat polis sebaik tiba dan dibawa keluar dari mahkamah.

Kamarul Baharin memohon tiada jaminan ditawarkan terhadap semua tertuduh kerana kesalahan dilakukan mereka berkaitan keselamatan selain dua lagi tertuduh kini melarikan diri.

Katanya, ia juga membabitkan isu imigresen berikutan tertuduh warga China juga yang tinggal lebih masa dan tiada pasport masuk ke negara ini.

Terdahulu, peguam Datuk Rajpal Singh memohon mahkamah untuk membenarkan jaminan terhadap anak guamnya atas isu kesihatan dan hak setiap tertuduh mendapatkan jaminan.

"Tertuduh juga bersedia menerima sebarang syarat jaminan tambahan termasuk melaporkan diri di balai polis dan menyerahkan pasport untuk tertuduh warganegara," katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menerima permohonan pasukan pendakwaan dengan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh.

Selain itu, Jamaluddin turut mengarahkan peguam tujuh tertuduh membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul polis ketika soal siasat.

Mahkamah kemudian menetap 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan Geng Nicky yang didalangi Nicky Liow yang juga Pengasas Winner Dynasty Group pada 20 hingga 28 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 4:12 PM