Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Dua pelajar yang memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru sambil menunggang motosikal, Rabu lalu didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menghina.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, di sini, 4 petang 3 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 mengikut akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Berita berkaitan:

  • Lima saman trafik kepada pelajar 'carut' guru [METROTV]
  • Pelajar carut guru mohon maaf
  • JPJ ambil tindakan terhadap pelajar tak pakai topi keledar
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 12:40 PM