TANVEER yang dipercayai menggunakan pistol milik bapanya ketika melakukan aksi berkenaan.
TANVEER yang dipercayai menggunakan pistol milik bapanya ketika melakukan aksi berkenaan.
Agensi

Karachi: Remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas tertembak diri sendiri ketika merakam video menerusi aplikasi TikTok, Ahad lalu.

Kejadian di Sikandar Goth itu meragut nyawa remaja dikenali sebagai Tanveer yang dipercayai menggunakan pistol milik bapanya ketika melakukan aksi berkenaan.

Gulfnews melaporkan, berdasarkan kenyataan polis tempatan, keluarga remaja berkenaan enggan membenarkan mayat mangsa dibedah siasat.

Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga selepas selesai urusan dokumentasi di hospital, lapor media tempatan.

Polis kini sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden berkenaan.

Berdasarkan maklumat, polis mengesahkan pistol yang digunakan kejadian itu dilesenkan kepada bapa mangsa.

Kejadian sedemikian bukan pertama kali berlaku di Pakistan kerana ia pernah meragut nyawa seorang lelaki berusia 24 tahun, April lalu.

Lelaki itu mati tertembak diri sendiri ketika merakamkan video di Stesen Kereta Api Jumma Goth, Korangi dekat sini.

Dalam kejadian berasingan Disember tahun lalu, Ammar Haider, remaja lelaki berusia 16 tahun turut maut ketika merakam aksi sama di TikTok di Punjab, dekat Sialkot.

Rakan Ammar memaklumkan polis bahawa mangsa tertembak diri sendiri walaupun keluarga mendakwa mangsa ditembak rakannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 6:30 AM